Jumaat, Mac 18, 2011

Simpulan Bahasa

     Simpulan bahasa Melayu merupakan warisan orang Melayu terdahulu yang dicipta melalui pemerhatian serta situasi yang berlaku pada masa dahulu.  Orang tua-tua pada masa itu sangat kreatif dan bijak dalam menyusun kata, sebagai hiasan bahasa untuk disampaikan kepada masyarakat.  Hiasan bahasa ini adalah bertujuan untuk memberikan nasihat, pedoman, sindiran, tunjuk ajar serta pengajaran yang disampaikan secara halus, berkias, berselindung di balik kepuitisan bahasa.   

     Terdapat beribu-ribu bentuk simpulan bahasa yang disimpul untuk menjadi satu simpulan bahasa yang bermakna untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang nilai, budi, bahasa, sikap, cara berfikir, pandangan hidup dan banyak lagi yang semuanya berkaitan dengan kehidupan kita.

      Jika dilihat sekilas pandang, masih ramai masyarakat yang tidak mengetahui secara luas simpulan bahasa ini.  Saya sendiri mengakui bahawa penguasaan saya terhadap simpulan bahasa masih cetek.  Apabila memcari bahan bacaan yang berkaitan dengan simpulan bahasa, saya masih terpinga-pinga untuk mentakrifkan maksud dan mesej yang ingin disampaikan dalam sesuatu simpulan bahasa.  

 1)  Gunting Hati = Menggunting Hati
Maksud: Melukai perasaan.
Contoh Ayat: Perbuatan anak gadisnya yang lari dari rumah itu telah menggunting hatinya.


2) Lubuk Akal Lautan Budi
Maksud: Mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat luas dan banyak.
Contoh Ayat: Penduduk kampung akan merujuk kepada Tuk Sidang jika menghadapi sebarang kemusykilan kerana beliau seorang yang lubuk akal lautan budi.

3) Diam Penggali
Maksud: Orang yang diam dan memudaratkan dirinya.
Contoh Ayat: Kalau tidak faham hendaklah bertanya, jangan jadi diam penggali.


4) Biang Keladi 
Maksud: Orang atau hal yang menjadi punca kejahatan. 
Contoh Ayat: Rajoolah yang menjadi biang keladinya dalam kes kecurian lembu baru-baru ini. 

5) Hati Tungau = Berhati Tungau
Maksud: Penakut.
Contoh Ayat: Lingkau nampak sahaja berani tapi sebenarnya berhati tungau.

     Adakah anda mengetahui beberapa simpulan bahasa yang saya paparkan di atas?  Simpulan bahasa tersebut merupakan simpulan bahasa yang baru saya ketahui.  Masih terdapat banyak simpulan bahasa yang saya tidak ketahui namun tidak cukup untuk ditunjukkan di sini.  Oleh demikian, kita perlu menanam sikap cinta pada bahasa dengan mengambil tahu tentang simpulan bahasa ini untuk menambahkan pengetahuan serta 
ilmu dalam bahasa Melayu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan