Assalamualaikum wahai sahabatku semua, hari ini saya ingin berkongsi satu cerita menarik tentang pasangan pengantin yang terpaksa mencuci periuk kawah. Hehehe...sebenarnya ini adalah adat Melayu yang sering diamalkan dalam sesebuah majlis perkahwinan. Walaupun ada pepatah Melayu pengantin itu ibarat 'Raja Sehari' tetapi tidak untuk keesokan paginya. Pengantin akan mendapat habuan sepasang periuk besar untuk dicuci bersama-sama. Memang banyak aksi yang dapat dilihat pada waktu tersebut. Si Isteri mengelap peluh suami, muka pengantin baru penuh hitam-hitam seperti memakai bedak sejuk rupanya. Hahaha, tetapi yang menjadi cerita, saya mempunyai seorang kawan yang tidak mengetahui langsung tentang adat ini. Ayah kawan saya itu berasal dari Terengganu manakala ibunya pula asal dari negeri Sabah dan berketurunan Cina. Kawan saya itu membesar di Sabah dan sememangnya orang Sabah tidaklah menjadikan hari mencuci periuk ini sebagai adat mereka. Oleh demikian, tidak hairanlah jika kawan saya tidak mengetahui tentang adat tersebut. Selalunya, kita mengetahui adat dan budaya kita melalui ibu kerana ibu lebih mengetahui segalanya tentang adat berbanding lelaki atau bapa.
Oleh demikian, kawan saya ini langsung tidak menegtahui tentang adat pengantin yang akan mencuci periuk kawah setelah selesai majlis perkahwinan. Sebenarnya, orang Melayu sangat bijak dalam meneladani kehidupan sejak dari dahulu lagi. Sebab musabah cuci kawah ini adalah untuk menguji sejauh mana kesungguhan pasangan pengantin tersebut dalam menjalani bahtera rumah tangga. Jika periuk yang dibasuh itu bersih berkilat, maka dapat disimpulkan bahawa pengantin tersebut bersungguh-sungguh dalam menjalani kehidupan rumah tangga kelak. Sebaliknya pula, jika periuk yang dibasuh ala kadar sahaja, maka begitulah sikap pengantin dalam menjalani rumah tangga kelak. Selain itu, adat ini boleh dijadikan sebagai kenangan manis kepada pengantin baru. Lihat betapa bijaknya orang Melayu terdahulu mengatur muslihat dalam menilai kesungguhan pengantin yang baru sahaja melayari rumah tangga.
Wah, betapa besarnya periuk kawah di dalam gambar ini! Kepada bakal-bakal pengantin di luar sana, selamat membasuh periuk kawah dengan jayanya. Hehehehe...
Komen: Cintailah budaya dan adat warisan kita kerana ianya adalah suatu seni budaya yang amat unik. Orang terdahulu sebenarnya mempunyai pemikiran yang lebih kehadapan berbanding orang atau masyarakat sekarang. Jadi, tidak ada salahnya jika kita meneladani apa yang telah dikatakan oleh orang tua-tua kerana sememangnya mereka terlebih dahulu makan garam daripada kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan