Jumaat, Mac 25, 2011

Lawatan ke Kedah

     Sangat seronok apabila dapat melawat ke tempat-tempat menarik di Malaysia.  Baru-baru ini, saya telah pergi ke negeri Kedah untuk kali yang ketiga.  Walaupun itu adalah kali ketiga, namun sambutannya agak berbeza sedikit.  Tidak dinafikan bahawa, orang-orang Kedah sangat peramah dan mudah mesra dengan sesiapa juga.  Begitu juga yang berlaku kepada saya dan beberapa orang sahabat saya yang berkunjung ke Kedah.  

     Seronok rasanya apabila orang lain cuba untuk mempelajari bahasa kita.  Walaupun terdapat peribahasa masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum, namun situasinya tidak sama dengan saya.  Ahli keluarga sahabat saya pula yang cuba untuk mempelajari bahasa saya.  Saya dan rakan-rakan yang lain telah tumpang menginap di rumah seorang sahabat yang terletak di Felda Teloi Kanan.  Mungkin kerana jarang bertemu dan bergaul dengan orang Sabah, mereka nampak teruja untuk mempelajari dan mengetahui tentang bahasa Sabah dan budaya orang Sabah.

     Jika masyarakat kita sentiasa bersikap positif seperti ini, kita akan lebih mudah untuk memahami dan mengetahui semua tentang budaya dan bahasa orang lain.  Kita perlu bersikap terbuka untuk mempelajari sesuatu yang baharu.  Begitu juga dengan saya, saya cuba untuk terus mempelajari bahasa dan loghat orang Utara kerana sememangnya bahasanya agak unik dan berbeza dari bahasa daerah saya iaitu bahasa Sabah.

     Tiada ruginya jika kita mempelajari bahasa selain dari bahasa kita begitu juga dengan bahasa asing seperti bahasa Inggeris atau bahasa lain.  Namun, pengikat jati diri perlu ada kerana tiada bahasa yang lebih sesuai dengan diri kita melainkan bahasa ibunda kita sendiri.   


Tiada ulasan:

Catat Ulasan