Khamis, Mac 17, 2011

Komik

     Berfikir sejenak, kenapa ada golongan yang terlalu suka dengan komik?  Adakah sebab komik-komik mensajikan cerita-cerita lucu yang boleh menghiburkan hati pembaca?  Terus-terang saya katakan, saya bukanlah seorang penggemar komik kerana saya tidak pandai melihat jalan ceritanya dengan baik.  Kadang-kadang, saya terpinga-pinga apabila membaca komik kerana susunan gambar yang tidak teratur menyebabkan jalan ceritanya lambat sampai ke dalam minda saya.

     Terdapat pelbagai jenis komik yang berada di pasaran mengikut tahap umur pembacanya.  Kanak-kanak lebih suka kepada komik yang berunsur cerita kartun yang juga turut ditayangkan di kaca televisyen.  Manakala, golongan remaja dan dewasa lebih suka kepada komik yang lebih tinggi tahap penceritaan serta konflik cerita dalam komik tersebut.  

     Namun, tidak dapat dinafikan bahawa, penggunaan bahasa dalam komik lebih bersifat ringan dengan menggunakan banyak bahasa rojak, bahasa slangan, bahasa pasar dan kadang-kala juga menggunakan bahasa dialek.  Pencemaran bahasa ini sepertinya tidak dapat dibendung kerana penggunaan bahasa-bahasa ini sebenarnya membuatkan jalan cerita komik lebih menyeronokkan dan mampu memberi unsur humor kepada pembacanya.  Jika dilihat secara realistik, tentu sahaja cerita buku komik akan menjadi kaku jika menggunakan bahasa baku ataupun bahasa standart.  

     Oleh demikian, pembaca tidak akan tertarik untuk membacanya dan sekali gus tidak akan mahu untuk membeli komik tersebut.  Tidak salah sebenarnya bagi penulis untuk menggunakan bahasa-bahasa seperti slanga, rojak, pasar, dialek atau bahasa selain daripada bahasa Melayu asli kerana itulah nilai yang boleh digunakan oleh penulis untuk menarik minat masyarakat untuk membaca bahan atau karya yang mereka hasilkan.  

      Namun, tanggungjawab pembaca adalah lebih diutamakan kerana, pembacalah yang akan menjadi pencemar bahasa jika pembaca terikut-ikut serta menggunakan bahasa-bahasa tersebut dalam pertuturan seharian.  Pembaca perlu bijak memilih bahasa yang sesuai untuk digunakan dalam pertuturan seharian kerana bahasa itu melambangkan bangsa.  Jika buruk bahasa, maka buruklah bangsanya.  Oleh demikian, pembaca perlu lebih bijak untuk menapis penggunaan bahasa-bahasa dalam komik ini agar pencemaran bahasa tidak akan berlaku.

Salah satu komik yang menjadi kegemaran pembaca
"Shin Chan"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan