Budaya masyarakat kita kini sedikit tersasar pada dasar memperkasakan bahasa Melayu. Hal demikian kerana, ibu bapa lebih suka untuk mengajar anak-anak berbahasa Inggeris berbanding berbahasa Melayu. Walaupun ibu bapa menginginkan anak-anak bijak berbahasa Inggeris, namun ajarlah dahulu anak-anak tersebut dengan bahasa ibundanya. Biarlah anak-anak benar-benar mengetahui bahasa Melayu terlebih dahulu sebelum mempelajari bahasa lain selain daripada bahasa ibundanya.
Memang benar mata pelajaran bahasa Inggeris penting kepada anak-anak apabila di sekolah dan memasuki alam pekerjaan. Segala akan menjadi mudah jika anak-anak petah berbahasa Inggeris. Namun, ibu bapa salah strategi kerana ketika kecil, anak-anak lebih didedahkan dengan bahasa Inggeris, tetapi tidak didedahkan dengan bahasa Melayu. Bagi membolehkan anak-anak fasih berbahasa Inggeris, ibu bapa membelikan buku-buku bahasa Inggeris, memberi tontonan cerita-cerita bahasa Inggeris, memperdengarkan lagu-lagu bahasa Inggeris.
Tidakkah ibu bapa sedari bahawa mendedahkan anak-anak dengan bahan-bahan berasaskan bahasa Inggeris ini boleh menghakis sifat dan budaya orang Melayu itu sendiri. Kanak-kanak akan mudah terpengaruh denga apa yang dilihat, didengar dan apa yang dibaca olehnya. Oleh demikian, besar kemungkinan, anak-anak yang bakal lahir pada masa hadapan akan terhakis budaya orang Melayu dan bakal melupakan budayanya sendiri tetapi mengagungkan bahasa asing serta budaya baru yang sering diamalkan mereka dari kecil.
Sedarlah masyarakat semua, sesungguhnya apa yang kita sajikan untuk anak-anak perlu mempunyai batasan dan fikiran jangka panjang. Ibu bapa bertanggungjawab terhadap perkembangan anak-anak mereka. Oleh demikian, bijaklah mencari kaedah untuk membolehkan anak-anak menguasai bahasa ibunda sekaligus turut mempunyai penguasaan yang baik dalam bahasa lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan