Khamis, Februari 17, 2011

Situasi 3 :Identitiku

    Ramai kawan-kawan yang mengetahui bahawa aku adalah berketurunan bugis, tetapi mungkin kawan-kawan juga tidak tahu bahawa aku juga berketurunan banjar di sebelah ibuku.  Rasanya, dalam institusi kekeluargaan, kita akan lebih terikut dengan cara, adat dan budaya daripada sebelah ibu. Sebab itulah, aku tidak berapa mengetahui bahasa, budaya dan adat orang-orang bugis. Walaupun hakikatnya, bapak aku memang berasal dari kepulauan Sulawesi, tetapi disebabkan perkahwinan campur antara bangsa bugis dan banjar, bapakku sudah tidak mengambil berat tentang pewarisan adat, budaya dan bahasa beliau kepada anak-anak.

    Aku lebih mengetahui berkenaan dengan adat, budaya dan bahasa banjar.  Sebab seorang ibu memang sangat mengambil berat tentang adat, sopan santun, budaya dan sebagainya yang berkaitan dengan cara hidup.  Ditakdirkan pula salah seorang abangku dikahwinkan dengan pilihan keluarga iaitu dua pupu dari sebelah ibuku yang juga berketurunan banjar menyebabkan ibuku sering menggunakan bahasa perantaraan di rumah dengan menggunakan bahasa banjar.  Bermula dari situlah, aku mula mempelajari bahasa banjar secara tidak langsung daripada ibu dan kakak iparku. 

    Sebenarnya, sangat seronok apabila kita dapat bertutur dalam pelbagai bahasa selain daripada bahasa Melayu, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kita sebagai rakyat Malaysia.  Namun rasa malu pula apabila aku bertemu dengan sepupu sebelah bapakku, kerana mereka sering mempertikaikan kekurangan yang ada pada aku dan adik-beradikku kerana kami sememangnya tidak mampu bertutur mahu pun memahami bahasa bugis.  Hehehe...memang kami sering menjadi bahan gurauan mereka kerana kami tidak mampu memahami apa yang sepupu-sepupuku sedang perkatakan. 

    Di sini, aku selitkan sedikit perbendaharaan kata bahasa banjar yang boleh aku kongsikan bersama-sama dengan kawan-kawan.

  1. guring    = tidur 
  2. lawas    = lama
  3. hanyar  = baru
  4. kenah   = nanti
  5. setumit = sikit
  6. ulun/unda = saya/aku
  7. pian     = kamu
  8. julak/acil  = mak cik
  9. paman  = pak cik
  10. kaik     = datuk   
    Dijadikan satu cerita, aku pernah mengikuti seorang rakanku yang mempunyai keluarga angkat di kawasan Felda Trolak. Kami pergi bersama rakan-rakan serumah yang lain.  Ketika berada di sana, ayah angkat kepada rakanku itu mengajak kami untuk datang bertamu ke rumah jiran mereka yang pada waktu itu melangsungkan majlis pertunangan puterinya.  Bak kata orang tua-tua, rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari, kami pun bertamu ke rumah jiran beliau.  Datang tidak diduga, oleh itu, tidak eloklah jika kami balik tanpa menghulurkan bantuan dalam majlis tersebut.  Aku dan rakan-rakan pun menawarkan diri untuk bersama-sama membasuh pinggan mangkuk.  Pada waktu itulah, kebolehanku berbahasa banjar diduga oleh makcik-makcik di situ.  Ketika mereka bersembang aku pun bertanya...

     Aku           : Mak cik ni orang banjar ya?
     Mak Cik    : Iya...kami ni memang kebanyakannya orang banjar.
     Aku           : Ulun pun orang banjar Cil.( Saya pun orang banjar mak cik)
     Mak Cik    : Au! Bujur ka wa heni (betulkah ni?)
     Aku           : Enggih (ya)
     Mak Cik    : Jadi, tahu ka wa heni bepender banjar?
                         (Jadi tahulah cakap banjar)
     Aku           : Enggih, bisa la Cil tapi kadak entos.hehehe
                        (Ya, boleh tapi tidaklah lancar sangat)
     Mak Cik    : Nah, baguslah ikam bisa. Anak-anak acil pun kadadak yang
                         bisa bepender banjar.(Nah,baguslah kalau kamu boleh.
                         Anak-anak mak cik sudah tiada yang tahu
                         bercakap dalam bahasa banjar).


Komen: Apabila seseorang itu mempunyai perbendaharaan kata dalam pelbagai bahasa memberikan satu kelebihan kepada dirinya kerana hakikatnya, kebolehan berbahasa itu mempunyai banyak kebaikan dan faedahnya.  Dalam situasi di atas, saya rasa yakin untuk beramah-mesra dengan tetamu-tetamu yang ada dalam majlis tersebut kerana apabila saya terdengar mereka bertutur dalam bahasa banjar, saya cuba untuk menarik minat mereka bercerita bersama-sama. Kesimpulannya, cubalah pelbagaikan pengetahuan bahasa yang ada di samping, kekal setia dengan bahasa Melayu kita agar bahasa Melayu akan terus menjadi jati diri untuk orang-orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya.