Orang Melayu kaya dengan adat pantang larang. Emak saya sendiri mempunyai banyak pantang larang. Kononnya, nanti ada sesuatu yang terjadi jika kita lakukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan. Jadi, mak saya selalu cakap jangan...jangan...jangan...
Jika dikaitkan dengan bahasa dan pantang larang, terdapat beberapa pantang larangnya. Contohnya, jangan menyanyi di dapur nanti dapat suami tua. Pantang lain, jangan suka cakap besar di dalam hutan nanti dapat bencana, jadi kita kena jaga pertuturan kita. Seterusnya, jangan becakap bila makan, terutama bila mulut penuh. Banyak lagi pantang yang berkaitan dengan bahasa. Orang tua-tua terdahulu membuat pantang sedemikian sebenarnya mempunyai sebab kerana setiap apa yang dilarang mempunyai kebaikannya.
Kalau menyanyi ketika di dapur, takut nanti masakan tidak menjadi dan hangus, kalau bercakap besar di hutan takut nanti mendapat bencana, jangan bercakap ketika makan takut nanti tersedak dan tercekik. Namun, pantang larang ini ditutupi dengan pelbagai kiasan bagi membolehkan anak-anak takut untuk melakukannya seperti tidak ada perempuan yang ingin bersuami tua.
Bahasa itu indah dan segala pantang larang ini diperindahkan dengan bahasa. Oleh demikian, tiada salahnya jika terus mengamalkan pantang larang tersebut asalkan pantang larang tersebut tidak bertentangan denga akidah dan ajaran Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan