Jumaat, Mac 25, 2011

Ajarlah Anak-Anak dengan Bahasa Melayu

     Budaya masyarakat kita kini sedikit tersasar pada dasar memperkasakan bahasa Melayu.  Hal demikian kerana, ibu bapa lebih suka untuk mengajar anak-anak berbahasa Inggeris berbanding berbahasa Melayu.  Walaupun ibu bapa menginginkan anak-anak bijak berbahasa Inggeris, namun ajarlah dahulu anak-anak tersebut dengan bahasa ibundanya.  Biarlah anak-anak benar-benar mengetahui bahasa Melayu terlebih dahulu sebelum mempelajari bahasa lain selain daripada bahasa ibundanya.  

     Memang benar mata pelajaran bahasa Inggeris penting kepada anak-anak apabila di sekolah dan memasuki alam pekerjaan.  Segala akan menjadi mudah jika anak-anak petah berbahasa Inggeris.  Namun, ibu bapa salah strategi kerana ketika kecil, anak-anak lebih didedahkan dengan bahasa Inggeris, tetapi tidak didedahkan dengan bahasa Melayu.  Bagi membolehkan anak-anak fasih berbahasa Inggeris, ibu bapa membelikan buku-buku bahasa Inggeris, memberi tontonan cerita-cerita bahasa Inggeris, memperdengarkan lagu-lagu bahasa Inggeris.  

     Tidakkah ibu bapa sedari bahawa mendedahkan anak-anak dengan bahan-bahan berasaskan bahasa Inggeris ini boleh menghakis sifat dan budaya orang Melayu itu sendiri.  Kanak-kanak akan mudah terpengaruh denga apa yang dilihat, didengar dan apa yang dibaca olehnya.  Oleh demikian, besar kemungkinan, anak-anak yang bakal lahir pada masa hadapan akan terhakis budaya orang Melayu dan bakal melupakan budayanya sendiri tetapi mengagungkan bahasa asing serta budaya baru yang sering diamalkan mereka dari kecil.

     Sedarlah masyarakat semua, sesungguhnya apa yang kita sajikan untuk anak-anak perlu mempunyai batasan dan fikiran jangka panjang.  Ibu bapa bertanggungjawab terhadap perkembangan anak-anak mereka. Oleh demikian, bijaklah mencari kaedah untuk membolehkan anak-anak menguasai bahasa ibunda sekaligus turut mempunyai penguasaan yang baik dalam bahasa lain.


Jangan...jangan...jangan

     Orang Melayu kaya dengan adat pantang larang.  Emak saya sendiri mempunyai banyak pantang larang.  Kononnya, nanti ada sesuatu yang terjadi jika kita lakukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan.  Jadi, mak saya selalu cakap jangan...jangan...jangan...

     Jika dikaitkan dengan bahasa dan pantang larang, terdapat beberapa pantang larangnya.  Contohnya, jangan menyanyi di dapur nanti dapat suami tua.  Pantang lain, jangan suka cakap besar di dalam hutan nanti dapat bencana, jadi kita kena jaga pertuturan kita.  Seterusnya, jangan becakap bila makan, terutama bila mulut penuh.  Banyak lagi pantang yang berkaitan dengan bahasa.  Orang tua-tua terdahulu membuat pantang sedemikian sebenarnya mempunyai sebab kerana setiap apa yang dilarang mempunyai kebaikannya.  

     Kalau menyanyi ketika di dapur, takut nanti masakan tidak menjadi dan hangus, kalau bercakap besar di hutan takut nanti mendapat bencana, jangan bercakap ketika makan takut nanti tersedak dan tercekik.  Namun, pantang larang ini ditutupi dengan pelbagai kiasan bagi membolehkan anak-anak takut untuk melakukannya seperti tidak ada perempuan yang ingin bersuami tua.

     Bahasa itu indah dan segala pantang larang ini diperindahkan dengan bahasa.  Oleh demikian, tiada salahnya jika terus mengamalkan pantang larang tersebut asalkan pantang larang tersebut tidak bertentangan denga akidah dan ajaran Islam.


Sinetron

     Sinetron? Tentu anda mengetahuinya bukan?  Sinetron merupakan rancangan televisyen yang memaparkan cerita-cerita drama dan filem negara Indonesia.  Cerita-cerita yang dipaparkan juga menarik dan menjadi kegilaan remaja serta ibu-ibu di rumah.  Walaupun cerita-cerita ini memaparkan hingga beratus-ratus episod, namun penontonnya tetap setia untuk kekal menonton sehingga tamat ceritanya.  

     Namun, menjadi fenomena baharu apabila, orang Malaysia sendiri terikut-ikut dengan pengaruh cerita-cerita Indonesia ini.  Masyarakat kita sudah terikut-ikut dengan penggunaan bahasa Indonesia.  Malah, anak-anak kecil juga terpengaruh dengan bahasa Indonesia.  Dahulu, pengaruh ini tersebar kerana masyarakat kita sering menggunakan khidmat pembantu rumah warga Indonesia.  Kini, isu baharu telah terjadi kerana kanak-kanak telah terpengaruh dengan bahasa Indonesia melalui cerita-cerita Sinetron dari Indonesia.

     Industri kita bukannya tidak mempunyai cerita-cerita menarik, tetapi mungkin kerana bayarannya agak mahal maka cerita-cerita yang dihasilkan oleh penggiat drama dan filem Malaysia agak suram dipaparkan di kaca televisyen.  Sebaliknya, cerita-cerita Sinetron inilah yang menjadi halwa mata penonton di rumah.  Cerita-cerita ini dipaparkan setiapa hari dan masyarakat kita secara tidak langsung terpengaruh pada setiap masa dengan bahasa Indonesia ini.

     Industri tanah air perlu bijak melakukan sesuatu pembaharuan terhadap industri perfileman dan drama di Malaysia.. Sebenarnya, perkembangan sesebuah bahasa boleh dilakukan melalui cerita-cerita drama dan filem.  Oleh demikian, kita industri kita perlu lebih bergiat aktif untuk menghasilkan drama-drama yang menarik dan filem-filem yang hebat untuk membantu perkembangan bahasa Melayu ke serata dunia agar lebih dikenali dan mudah dipelajari oleh warga negara lain.


Muridku yang keliru

     Hehehe...lucu rasanya apabila saya terkenang pengalaman pengajaran makro yang saya lakukan baru-baru ini.  Memang satu pengalaman yang menarik dan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.  Semakin berkobar-kobar jugak hati untuk mengajar murid-murid di sekolah yang sebenar nanti.  

     Namun, pengalaman yang paling sukar untuk dilupakan adalah murid-murid saya keliru dengan identiti saya.  Murid-murid saya menyangka bahawa saya berasal dari Indonesia.  Persoalannya, teruk sangatkah bahasa standart saya? Hehehe...mungkin kerana saya terbiasa menggunakan bahasa baku.  Oleh demikian, pelajar berasa sedikit janggal apabila saya bertutur sedemikian.  

     Menjadi satu persoalan apabila kita bertutur dengan bahasa baku.  Namun, saya sedikit sukar untuk berbahasa standart seperti orang di Tanah Melayu atau di Semenanjung Malaysia.  Hakikatnya, penggunaan bahasa Melayu di negeri Sabah lebih kebakuan berbanding di Semenanjung.  Sebab itulah, sukar untuk saya berbahasa sedemikian.  Sangat lucu apabila orang lain keliru dengan apa yang kita pertuturkan sedangkan kita adalah rakyat Malaysia.  Azam saya selepas ini, saya akan perbaiki pertuturan agar bakal murid-murid saya akan mudah memahami apa yang saya ujarkan kepada mereka.


Lawatan ke Kedah

     Sangat seronok apabila dapat melawat ke tempat-tempat menarik di Malaysia.  Baru-baru ini, saya telah pergi ke negeri Kedah untuk kali yang ketiga.  Walaupun itu adalah kali ketiga, namun sambutannya agak berbeza sedikit.  Tidak dinafikan bahawa, orang-orang Kedah sangat peramah dan mudah mesra dengan sesiapa juga.  Begitu juga yang berlaku kepada saya dan beberapa orang sahabat saya yang berkunjung ke Kedah.  

     Seronok rasanya apabila orang lain cuba untuk mempelajari bahasa kita.  Walaupun terdapat peribahasa masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum, namun situasinya tidak sama dengan saya.  Ahli keluarga sahabat saya pula yang cuba untuk mempelajari bahasa saya.  Saya dan rakan-rakan yang lain telah tumpang menginap di rumah seorang sahabat yang terletak di Felda Teloi Kanan.  Mungkin kerana jarang bertemu dan bergaul dengan orang Sabah, mereka nampak teruja untuk mempelajari dan mengetahui tentang bahasa Sabah dan budaya orang Sabah.

     Jika masyarakat kita sentiasa bersikap positif seperti ini, kita akan lebih mudah untuk memahami dan mengetahui semua tentang budaya dan bahasa orang lain.  Kita perlu bersikap terbuka untuk mempelajari sesuatu yang baharu.  Begitu juga dengan saya, saya cuba untuk terus mempelajari bahasa dan loghat orang Utara kerana sememangnya bahasanya agak unik dan berbeza dari bahasa daerah saya iaitu bahasa Sabah.

     Tiada ruginya jika kita mempelajari bahasa selain dari bahasa kita begitu juga dengan bahasa asing seperti bahasa Inggeris atau bahasa lain.  Namun, pengikat jati diri perlu ada kerana tiada bahasa yang lebih sesuai dengan diri kita melainkan bahasa ibunda kita sendiri.   


Jumaat, Mac 18, 2011

Bahasa Pasar

     Bahasa pasar bukanlah bahasa yang digunakan di pasar sayur, pasar ikan atau pasar raya.  Bahasa pasar merupakan ragam bahasa Melayu yang tidak betul jalan penggunaannya seperti bahasa terbalik, bahasa tergantung, atau bahasa yang dicipta sendiri oleh penduduk yang menduduki sesuatu kawasan tersebut.

     Saya berasal dari negeri Sabah dan untuk pengetahuan anda, bahasa pasar di Sabah ada banyak ragam dan jenis.  Bahasa pasar ini mengikut daerahnya tersendiri seperti;

Plastik= Kompek (Tawau, Semporna), Bahai(Sandakan, Kota Kinabalu)

Mengada-ada = Getek (Tawau, Lahad Datu, Sandakan) , Bidak (Kota Kinabalu)

Kereta sorong= Gerobak ( Tawau, Sandakan) Kereta Tolak (Kota Kinabalu)

Baldi = Ember ( Tawau, Lahad datu, Sandakan, Semporna), Baldi ( Kota Kinabalu)

Saya = Sa/ Sia ( Kota Kinabalu, Sandakan) Saya ( Tawau, Lahad datu, Semporna)

     Terdapat banyak lagi bahasa pasar ini, jika anda benar-benar ingin mempelajarinya, anda perlu datang melawat ke Sabah kerana pengalaman anda lebih berharga dari pengetahuan  umum.  Selamat datang ke Sabah.



Maggie

     Ada orang mengatakan bahawa mee segera adalah peneman setia untuk pelajar-pelajar di universiti. Benarkah begitu keadaannya?  Bagi saya tidak begitu kerana saya tidak menggemari mee segera sejak dulu lagi. Hehehehe...percayalah!

      Berbalik kepada isu mee segera ini, masyarakat tidak menyebutnya mee segara walaupun mereka tahu bahawa makanan tersebut adalah mee segera.  Masyarakat kita sering melabel semua mee segera dengan nama Maggie kerana jenama mee segera Mee Maggie merupakan jenama paling laris dan serasanya adalah pengeluar makanan mee segera  terawal di Malaysia.  

     Oleh demikian, semua orang melabel mee segera sebagai Maggie walaupun, mee segera tersebut bukan dari jenama Mee Maggie.  Begitu juga berlaku pada sesetengah baranagn lain seperti ubat gigi yang dilabel sebagai Colgate dan ubat serangga sebagai Ridsect.  Ini juga menjadi satu isu bahasa kerana masyarakat lebih suka melabel  satu barangan dengan satu nama walaupun mempunyai pelbagai jenama.


Bahasaku Tercemar

     Beberapa minggu yang lalu kolej kediaman sya telah mengadakan kolej terbuka.  Pelbagai aktiviti menarik yang boleh diikuti oleh mahasiswa UPSI untuk lebih bergiat aktif dengan aktiviti-aktiviti di universiti.  Oleh demikian, pelbagai gerai barangan dibuka untuk pelajar-pelajar UPSI.

     Ketika saya berjalan dengan rakan serumah saya, saya selaku guru bahasa terdengar suatu situasi antara penjual dan pembeli.  Pembeli tersebut adalah pelajar UPSI sendiri.  Sangat sedih rasanya kerana pencemaran bahasa yang dilakukan oleh pelajar tersebut sangat teruk.

Gadis 1 : Aku rasa better kau pilih handbag ni.
             .lagi cantik.
Penjual : Ha pilih dik..pilih…jangan segan-segan. 
              Adik beli satu beg, abang
              kasi free satu lagi beg,beg plastik.
Gadis 2 : haha…ala plastic bag tak payah cakap
               lah bang. Bang tak de discount ke,
              kitorang share beli banyak ni.
Penjual : tak boleh la dik, dah murah dah tu.. 
              kalau discaunt lagi boleh bankrupt 
              lah abang. Takde untunglah.
Gadis 3 : ala bang just discount sikit je lagi..
Penjual : ok lah adik punya pasai abang kasi 
               discount. RM 23 untuk satu beg.
Gadis 2 : ha camtu lah. thanks you bang…hehehe

     Rasa sangat sedih kerana yang menjadi pencemar bahasa tersebut adalah warga-warga bakal pendidik.  Walaupun mereka bukanlah guru bahasa, namun mereka juga perlu menerapkan nilai cinta dalam bahasa Melayu kerana mereka juga merupakan orang Melayu.  Bersama-samalah kita memartabatkan bahasa Melayu kerana sesungguhnya bahasa itu melangbangkan bangsa.  Bahasa Jiwa Bangsa.


Peranan Media Massa

     Hidup dalam universiti ini memerlukan banyak pengorbanan.  Dahulu, di rumah saya ada televisyen untuk ditonton jika bosan, ada radio untuk didengar jika ingin berhibur.  Namun, semenjak bergelar mahasiswi, saya sudah jarang menghabiskan masa dengan menonton dan mendengar lagu di radio pilihan.  

     Setelah enam semester berada di universiti, saya kini sudah terbiasa tanpa menonton rancangan di televisyen dan mendengar lagu.  Namun, saya masih mampu untuk mendengar lagu melalui telefon bimbit kerana mempunyai aplikasi radio tetapi bukanlah selalu kerana kesibukan dengan tugasan dan kuliah.  

     Jika dilihat, radio-radio penyiaran mempunyai identiti masing-masing, iaitu ada yang mendengarkan lagu-lagu irama dan lagu dahulu, ada yang mendengarkan pendengar dengan lagu-lagu kini, tidak kurang juga dengan stesyen radio penyiaran bahasa lain selain Melayu seperti Minal FM, HITS FM dan beberapa lagi stesyen radio lain. 

      Namun, apabila saya membuat perbandingan antara stesyen-stesyen radio Melayu, stesyen Muzik Fm dan Klasik Nasional Fm yang sering menyampaikan mesej tentang bahasa Melayu.  Pelbagai iklan tentang budaya, budi bahasa, sikap pengguna dan banyak lagi nilai-nilai budaya dan bahasa yang diperdengarkan kepada orang awam.

     Oleh demikian, saya sangat suka mendengar lagu melalui frekunsi radio berkenaan kerana pelbagai ragam manusia yang kita dapat kenali berbanding radio lain yang banyak menceritakan dan memperdengarkan kisah artis sensasi.  Oleh demikian, radio sememangnya banyak memainkan peranan dalam menerapkan unsur nilai, budaya dan bahasa kepada pendengar.


Pemandu Berhemah

     Saya tidak memounyai lesen memandu.  Saya tidak tahu memandu. Oleh demikian, saya tidak tergolong dalam golongan yang ingin saya perkatakan kali ini.  Sering kali kita melihat bahawa pemandu-pemandu di Malaysia menunjukkan sikap yang kurang berhemah.  Memandu dengan laju, tidak mengikuti lorong yang betul, memandu dalam keadan mabuk, pemandu motosikal juga sama menunggang dengan laju tanpa menghiraukan pemandu lain.

     Pemandu yang berhemah di sini yang ingin saya katakan ialah bapa saudara saya.  memang jika dilihat sikap dan tingkah laku beliau, beliau ini sangat berhati-hati orangnya.  Menurut isterinya, bapa saudara saya tidak pernah terlibat dalam kemalanganmeskipun dengan motosikal mahupun dengan kereta beliau.

     Adakah anda percaya dengan kenyatan tersebut?  Tentu pelik bukan jika anda mendengarnya?  Namun, itu adalah suatu yang pasti kerana saya pernah sekali turut sama ikut di dalam kereta beliau ketika beliau sedang memandu.  Beliau memang sangat berhemah dan pemanduan beliau juga sangat berhati-hati.  Ketika saya menumpang kereta beliau, ada seorang penunggang motosikal memotong dengan sikap yang agak kurang ajar dan mampu membahayakan dirinya sendiri.  

     Bapa saudara saya hanya menggelengkan kepala dan meneruskan pemanduan kerana beliau tidak suka bercerita atau bercakap ketika memandu kerana akan mengganggu tumpuan beliau ketika memandu.Jika pemandu lain, mungkin penunggang motosikal tersebut telah dimaki hamun atau melepaskan kemarahan pada waktu itu juga.  

     Jika semua pemandu bersikap seperti beliau, mungkin kadar kemalangan akan berkurang kerana terlalu berhati-hati ketika memandu.  Sikap beliau boleh menjadi contoh kepada orang lain kerana sikap pemandu beginilah yang mampu memberikan keselesaan pemanduan kepada semua orang.


Tulisan Singkatan

     Seringkali apabila melakukan pembentangan saya akan menggunakan bahasa yang penuh kerana sebagai guru bahasa, saya berasa penggunaan bahasa singkatan adalah salah dari segi hukum tatabahasa.  Rakan-rakan saya lain juga tidak menggunakan bahasa singkatan dalam sesebuah paparan slaid ketika pembentangan. Namun, baru-baru ini, pensyarah saya telah mengizinkan bahawa penggunaan singkatan dalam slaid adalah dibenarkan asalkan penggunaan tersebut sering digunakan dan diketahui umum penggunaan singkatannya.

     Sealin itu, perkataan singkatan ini adalah menjadi gaya masyarakat ketika menggunakan telefon bimbit dalam sistem pesanan ringkas.  Masyarakat kita sangat suka untuk menggunakan singkatan perkataan di dalam mesej-mesej yang dihantar.  Malah, dalam laman sosial juga, masyarakat sering menggunakan perkataan singkatan untuk membuat status atau memberi komen dengan rakan-rakan.  

     namun, yang menjadi permasalahan, ialah apabila kita sudah terbiasa menggunakannya, kemungkinan kita juga akan terikut-ikut dalam penulisan ilmiah.  Pelajar sekolah sering melakukan kesalahan ejaan apabila menggunakan ejaan singkatan ketika dalam penulisan karangan.  Ini menjadi satu isu kepada pelajar dan guru kerana kesalahan tersebut termasuk dalam kesalahan ejaan. Oleh demikian, berpadah-padahlah menggunakan ejaan singkatan ini agar tidak tercampur aduk dalam perkara yang berbentuk ilmiah seperti penulisan karangan dan sebagainya.


Gotong-Royong

     Budaya gotong-royong merupakan budaya yang telah lama diamalkan dalam masyarakat Melayu terutama ketika adanya majlis-majlis besar di kampung.  Namun, kini budaya tersebut seperti tidak lagi terlalu diamalkan kerana masyarakat kini lebih suka menggunakan khidmat pelanggan untuk sesuatu majlis.  

     Kenduri kesyukuran, Majlis pertunangan, majlis perkahwinan, majlis bercukul jambul, dan banyak lagi majlis yang menjadi adat orang Melayu sering menuntut orang kampung untuk bersama-sama membantu bergotong-royong.  Kini, tuan rumah lebih selesa menggunakan khidmat katering untuk sesuatu majlis kerana jimatkan tenaga dan masa.  

     Namun, nilai kerjasama dan bantu-membantu telah terhakis jika masyarkat lebih selesa menggunakan khidmat pelanggan seperti ini untuk suatu-satu majlis keramaian.  Di kawasan kampung sendiri kini telah banyak yang menggunakan khidmat pelanggan ini untuk memudahkan kerja-kerja mereka.  

     Oleh demikian, semakin lama budaya bergotong-royong ini semakin terpinggir dalam masyarakatnya sendiri.  Kini, budaya ini hanya selalu digunakan untuk melakukan kerja-kerja amal ataupun kerja-kerja pembersihan seperti gotong-royong kawasan perumahan, gotong-royong membersihkan masjid dan tanah perkuburan.  Budaya ini seharusnya dikekalkan kerana mempunyai nilai kemasyarakatan yang baik di dalam aktivitinya.  Oleh demikian, kita sebagai masyarakat perlu membangkitkan semula semangat bergotong-royong ini agar tidak terus terpinggir dalam kehidupan kita. 

Tersyasyul

     Mungkin ada rakan-rakan saya yang perasan dengan cara saya bertutur.  Sebenarnya, saya memang sering tersasul ketika bercakap apabila perkataan yang saya ujarkan mempunyai hurus /S/.  Semester ini saya telah mengambil kursus Drama dan Amali Seni Lakon.  Saya telah mendapat kepercayaan pensyarah dan pengarah untuk memegang watak Ana yang terjebak dengan gejala sosial dan mengandung anak luar nikah.  

     Ketika melakukan latihan drama, saya sering tersasul untuk menyebutkan /siapa? menjadi /syapa/.  Sebenarnya, saya memang sering mengujarkan perkataan /siapa/ kepada /syapa/.  Mungkin itu juga sudah menjadi kebiasaan saya ketika menyebutkan perkataan /siapa/.  
  
     Baru-baru ini, iaitu hari rabu lepas, giliran kumpulan saya telah tiba untuk membentangkan kerja kumpulan dalam kursus Semantik dan Pragmatik.  Sekali lagi saya telah tersasul ketika menyebutkan nama seorang ilmuan bahasa, iaiatu Hasyim Musa menjadi  /Hasyim Musya/.  Sememangnya, saya telah menjadi bahan ketawa kepada rakan-rakan saya pada hari tersebut.  Oleh demikian, memang sukar untuk mengubah sesuatu ujaran apabila kita telah terbiasa untuk menyebutkannya.  Namun, masih boleh diperbetulkan kerana saya mengakui bahawa, saya bukanlah manusia yang mempunyai lidah yang pendek tetapi hanya kebiasaan itu membuatkan saya sering tersasul ketika mengujarkan huruf /s/.

     

Auntie Ucie

     Perbandingan antara masyarakat di Sabah dengan di Semenanjung dapat kita lihat dari segi panggilan dalam keluarga.  Panggilan "Auntie" merupakan panggilan yang biasa digunakan di Sabah untuk menunjukkan kepada status Mak Cik.  Mungkin ada yang berasa ganjil kerana wanita yang sudah berumur juga ada yang disapa dengan panggilan "Auntie".

     Situasi ini sedikit berbeza dengan panggilan kekeluargaan di Semenanjung yang lebih pelbagai.  Ada panggilan Mak Long, Mak Andak, Mak Teh, Mak Su, Mak Lang dan sebagainya. Malah panggilan ini berbeza mengukit negeri di Semenanjung Malaysia.  Masyarakat Sabah pula jarang yang menggunakan panggilan sebegini namun tetap ada yang menggunakannya tetapi jarang-jarang dan kadang-kadang sahaja.

     Oleh demikian, panggilan saya di rumah adalah "Auntie Ucie", kerana saya mempunyai 19 orang anak saudara.  Kakak-kakak saya juga disapa dengan panggilan sedemikian kerana memang telah menjadi kebiasaan masyarakat di Sabah.  Pengaruh bahasa Inggeris ini masih kuat dalam kehidupan masyarakat di Sabah kerana Kepulauan Borneo lebih lama dijajah oleh pihak Inggeris berbanding di Tanah Melayu.  Malah, masyarakat di Sabah ramai yang mampu berbahasa Inggeris dengan baik mahupun tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi.

     Jelas bukan perbezaan sapaan ini? Kaum lelaki juga demikian kerana ramai yang menggelarkan diri dengan "Uncle" berbanding pak cik atau Pak Long dan sebagainya.  Oleh demikian, tidak akan menjadi satu perkara yang pelik jika anda menggelarkan seorang wanita tua di sabah dengan panggilan "Untie".

Gejala atau Masalah

     Kita sering mendengar penggunaan perkataan gejala dengan masalah sering digunakan dalam ayat.

1) Gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar semakin meningkat kini.
2) Masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar semakin meningkat kini.
Jika dilihat maksud kedua-dua istilah sama sahaja penggunaannya dalam ayat.

     Sebenarnya kedua-dua istilah ini mempunyai makna yang berlainan. Namun kebanyakan kita menganggap istilah ini membawa makna yang sama dan menggunakannya dalam keadaan atau situasi yang sama sama ada dalam penulisan atau lisan. Istilah bagi ‘gejala’ sebenarnya membawa makna ‘simptom’ atau ‘tanda’. 

     Manakala istilah ‘masalah’ pula membawa maksud sesuatu keadaan buruk yang telah berlaku. Gejala adalah sesuatu simptom atau tanda-tanda awal terhadap sesuatu permasalah yang masih boleh dibendung. Manakala bagi istilah ‘masalah’ pula adalah sesuatu keadaan buruk yang telah berlarutan dan sememangnya harus diatasi dan mungkin membawa kepada kesukaran untuk mengatasinya berbanding baru diperingkat ‘gejala’.menjadi pencuri, ianya boleh diistilahkan sebagai ‘masalah’.

Kalau Berpacaran

     Pernah tidak anda mendengar lagu Kalau Berpacaran? Tentu anda tahu bukan lagu tersebut? Lagu tersebut merupakan lagu untuk pasangan-pasangan kekasih yang sedang bermadu kasih dan janji.  Melihat kepada liriknya, lagu tersebut cuba menyampaikan mesej kepada masyarakat apabila berpacaran perlu menjaga tatasusila.  Seorang guru bahasa mungkin tidak mampu menghasilkan ayat yang cantik dan berbunga berbanding orang yang sedang mabuk asmara.

     Kata-kata yang dilahirkan dari jiwa sangat puistis.  Untuk menghasilkan bahasa yang indah kita boleh berguru dengan orang yang sedang berpacaran ini.  Kerana lembut lidah menghasilkan kata-kata puistis, ramai golongan remaja terjerumus ke dalam masalah sosial iaiatu terlanjur melakukan hubungan dengan pasangan kekasih mereka.  Kata-kata pujuk raya, kata-kata cinta yang membelai perasaan menyebabkan ramai golongan remaja perempuan terjebak ke dalam masalah demikian.

     Kes pengguguran janin, pembuangan bayi adalah berpunca daripada kisah berpacaran ini.  Bahasa dicemarkan dengan berlakunya kes-kes sedemikian.  Keindahan bahasa yang diciptakan sang arjuna untuk sang melati menjebak mereka ke dalam permasalahan gejala sosial.  Ketika bercinta juga bahasa menjadi medium utama untuk melahirkan perasaan kepada kekasih.
      
       Oh juwita yang ku puja, kau lah ratu yang terindah di pandangan mata.  Tiada perempuan lain yang mampu menandingimu untuk bertakhta di hatiku.  Percayalah kepada kasih dan cintaku. Hanya kau juwita di kalbuku.

     Kata-kata puistis di atas merupakan contoh kata-kata rayuan dan pujukan lelaki kepada kekasih untuk menabur kasih dan janji.  Memperdayakan perempuan sehingga tergadai maruah diri serta pedoman akal.  Mungkin ada baiknya jika pasangan-pasanagan kekasih ini tidak menggunakan bahasa untuk bercinta sebaliknya hanya menggunakan bahasa isyarat agar bahasa kita tidak tercemar penggunaannya.

      Bahasa adalah medium untuk perhubungan yang baik sesama manusia.  Bahasa sangat diperlukan untuk berkomunikasi secara baik dan menyelesaikan masalah.  Mungkin keadaan ini kita boleh berbalik kepada lirik lagu berpacaran, iaiatu "Kalau dah berkenan jumpalah ayah dan mama, hantarkan rombongan meminang dengan segera".  Lirik tersebut menjelaskan bahawa perkahwinan mampu mengelakkan pasangan-pasangan kekasih ini daripada terjebak dengan masalah di kemudian hari.  Nikmatilah lagu ini.


Simpulan Bahasa

     Simpulan bahasa Melayu merupakan warisan orang Melayu terdahulu yang dicipta melalui pemerhatian serta situasi yang berlaku pada masa dahulu.  Orang tua-tua pada masa itu sangat kreatif dan bijak dalam menyusun kata, sebagai hiasan bahasa untuk disampaikan kepada masyarakat.  Hiasan bahasa ini adalah bertujuan untuk memberikan nasihat, pedoman, sindiran, tunjuk ajar serta pengajaran yang disampaikan secara halus, berkias, berselindung di balik kepuitisan bahasa.   

     Terdapat beribu-ribu bentuk simpulan bahasa yang disimpul untuk menjadi satu simpulan bahasa yang bermakna untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang nilai, budi, bahasa, sikap, cara berfikir, pandangan hidup dan banyak lagi yang semuanya berkaitan dengan kehidupan kita.

      Jika dilihat sekilas pandang, masih ramai masyarakat yang tidak mengetahui secara luas simpulan bahasa ini.  Saya sendiri mengakui bahawa penguasaan saya terhadap simpulan bahasa masih cetek.  Apabila memcari bahan bacaan yang berkaitan dengan simpulan bahasa, saya masih terpinga-pinga untuk mentakrifkan maksud dan mesej yang ingin disampaikan dalam sesuatu simpulan bahasa.  

 1)  Gunting Hati = Menggunting Hati
Maksud: Melukai perasaan.
Contoh Ayat: Perbuatan anak gadisnya yang lari dari rumah itu telah menggunting hatinya.


2) Lubuk Akal Lautan Budi
Maksud: Mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat luas dan banyak.
Contoh Ayat: Penduduk kampung akan merujuk kepada Tuk Sidang jika menghadapi sebarang kemusykilan kerana beliau seorang yang lubuk akal lautan budi.

3) Diam Penggali
Maksud: Orang yang diam dan memudaratkan dirinya.
Contoh Ayat: Kalau tidak faham hendaklah bertanya, jangan jadi diam penggali.


4) Biang Keladi 
Maksud: Orang atau hal yang menjadi punca kejahatan. 
Contoh Ayat: Rajoolah yang menjadi biang keladinya dalam kes kecurian lembu baru-baru ini. 

5) Hati Tungau = Berhati Tungau
Maksud: Penakut.
Contoh Ayat: Lingkau nampak sahaja berani tapi sebenarnya berhati tungau.

     Adakah anda mengetahui beberapa simpulan bahasa yang saya paparkan di atas?  Simpulan bahasa tersebut merupakan simpulan bahasa yang baru saya ketahui.  Masih terdapat banyak simpulan bahasa yang saya tidak ketahui namun tidak cukup untuk ditunjukkan di sini.  Oleh demikian, kita perlu menanam sikap cinta pada bahasa dengan mengambil tahu tentang simpulan bahasa ini untuk menambahkan pengetahuan serta 
ilmu dalam bahasa Melayu.



Mari Belajar Istilah Baru

     Perkembangan bahasa berlaku jika penuturnya sering menuturkan dan cuba untuk mengembangkan bahasanya.  Saya juga sedemikian kerana saya sangat suka untuk memperkenalkan bahasa saya, iaitu bahasa Dialek Sabah kepada orang lain khususnya kepada rakan-rakan saya kerana saya adalah pelajar yang sedang  menuntut ilmu di Semenanjung Malaysia.  

     Saya akan menunjukkan satu situasi dengan menggunakan beberapa bahasa dialek atau istilah baru untuk anda pelajari bersama.

Anah : Ish mana bha si Lisya celedak/getek ni? Dari tadi aku carik-carik ndak jumpa-jumpa.  Di mana jugak dia betapuk ni?

Ucie : Syapa jugak yang kau carik tu? Dari tadi lagi aku tinguk macam cacing.

Anah : Anu bha, aku cari si Lisya ni. Dari tadi lagi ndak sampai-sampai.  Ndak tau di mana jugak dia betapuk.

Ucie : Haha, mau jugak kau mencarik dia bha.  Sudah kau tau dia tu geger-geger. Kilik-kilik, mau jugak kau layan main sama dia.

Anah : Adakah kau tinguk dia?

Ucie : Ndak la ku tau. Di bawah kolong kalik dia. Di stor belakang tu bertapuk.

Anah : Gelap bha tu bilik stor. Ada senterka? Pinjam dulu aku. Mau jugak aku cari dia nie bha.


* Celedak/ getek = mengada-ada
* Betapuk           = Bersembunyi
* Tinguk             = tengok
* Macam Cacing= Tidak pandai diam/ ke hulu  ke hilir
*Anu                 = Errrrr (sedang berfikir)
*Ndak              = Tidak
*Sampai-sampai= belum tiba/ tidak muncul
*Tau                 = tahu
* Mencarik       = Mencari
* Geger-geger  = gila-gila
* kilik-kilik       = suka buat perkara yang tidak masuk akal
* bawah kolong= bawah rumah
* kalik              = Mungkin
* Senter            = lampu suluh

     Bagaimana semua? Adakah anda faham dengan situasi di atas.  Tentu sekali anda sudah memperoleh beberapa kosa kata istilah baru bukan?  Bahasa itu perlu dikongsikan bersama agar bahasa tersebut mampu berkembang kerana suatu bahasa akan terus berkembang jika penuturnya semakin ramai.


Sama Rupanya

     Mungkin sudah menjadi kebiasaan untuk seseorang yang berasal daripada sebuah negeri yang sama mengenali sesama mereka sendiri.  Saya yang berasal daripada negeri Sabah akan mudah untuk mengenali orang satu negeri dengan saya hanya dengan mendengar orang tersebut bertutur.  

     Kebetulan, baru-baru ini saya telah pergi ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan saudara saya.  Ketika kami singgah untuk menunaikan solat Zohor, kami sempat untuk bercerita dan bersembang dengan menggunakan bahasa dialek Sabah.  Sedang kami rancak berbual selepas menunaikan solat, seorang perempuan menyapa kami.

      Kakak   : Assalamualaikum, erm orang Sabah bha kan?
     Saya       : Iya, Sabah. Kakak pun orang Sabah kah?
     Kakak    : Iyalah bha.  Dengar-dengar jak kamu bercerita.  
                     Tau sudah orang Sabah.
     Sepupu   : Kakak Sabah di mana?
     Kakak    : Sia orang Sandakan.  Kamu bukan orang KK 
                      kan?
     Saya      : Ndak, kami orang Tawau.
     kakak     : Hehe...sudah sia agak. Dengar bahasa kamu
                     pun tau sudah.

*Sia= Saya
*jak= sahaja
*tau= tahu
*KK= Kota Kinabalu
*Ndak= Tidak

     Sebenarnya, walaupun negeri Sabah mempunyai bahasa dialek tersendiri, namun bunyi bahasa dialek tersebut dipengaruhi lagi dengan kedudukan geografi atau kawasan daerahnya.  Jika di kawasan Utara Sabah, bahasa dialek lebih pekat dan agak menekan sedikit ketika bercakap.  Di bawah kawasan Utara, kepekatan dialek Sabah itu semakin cair kerana orang-orang di kawasan daerah Sandakan, Lahad Datu, Telupit tidaklah sepekat bahada dialek di Utara Sabah.  Manakala, di Selatan Sabah, iaitu di daerah Tawau, Semporna dan Kunak, bahasa dialeknya lebih cair dan tidak kedengaran pun kepekatan telor Sabah tersebut.  Namun begitu, bahasa dialeknya masih sama, yang berbeza hanya telornya dan bunyi sahaja.  Begitulah serba sedikit pengenalan bahasa di negeri Sabah di Bawah Bayu.


Bahasa Sapaan

     Adakah anda tahu bagaimana anak-anak remaja menyapa rakan-rakan mereka? Di Tawau, bahasa sapaan ketika bertemu rakan yang selalu digunakan adalah 'Geng', 'Konco, 'Jo' atau 'Bosku'.  Kalau di Semenanjung mereka lebih suka menggunakan perkataan 'Bro' atau 'Der'.
     Contoh cara sapaan budak-budak remaja di Tawau adalah seperti ini:

    1) Ui geng/gink dari mana kau ni? 
    2) Jo sini luk lau bha kejap. 
    3) Hello bosku, lama ndak jumpa kau ni?
    4) Assalamualaikum, ish koncoku bha nie. 
        Sini bha duduk minum.

     Mereka jarang menggunakan panggilan atau sapaan dengan nama seseorang kerana memang begitulah cara sapaan mereka kerana menunjukkan mereka sangan rapat.  Jika mereka menyapa dengan panggilan nama, kemungkinan mereka hanya kawan biasa dan tidak rapat.  Begitu juga dengan golongan emaja perempuan, mereka lebih senang menggunakan sapaan tersebut atau lenggunakan sapaan 'Sumandak' yang merujuk keapda perempuan.  Berbeza dengan remaja di Semenanjung, rata-rata saya melihat mereka menggunakan sapaan nama seperti 'Bro' atau 'Der' seperti:

     1) Hello bro, wah lu dah pakai potor besar sekarang.
     2) Rileks der, marah-marah pun tak dapat per.

     Kata sapaan sebegini lebih lazim digunakan oleh golongan remaja lelaki, kerana kata sapaan 'bro' dan 'der' tersebut merujuk kepada lelaki.  Bagi golongan remaja perempuan pula, sapaan nama lebih biasa digunakan atau penggunaan bahasa Inggeris seperti 'guys' dan 'you all'.

     Kata sapaan ini adalah mengikut situasi dan keselesaan penutur.  Semua bentuk sapaan ini adalah pengaruh daripada bahasa asing yang dan juga bahasa slanga yang dicipta sendiri oleh golongan remaja untuk menampakkan identiti meraka.  Bahasa sapaan ini juga sudah diterima pakai oleh masyarakat disekeliling.

Hello Gink!

Khamis, Mac 17, 2011

Pelanggan Selalu Benar

     Tentu anda tahu bukan dengan maksud tajuk celoteh saya pada kali ini?  Pelanggan selalu benar! Memang benar itulah polisi perniagaan yang selalu digunakan oleh para peniaga.  Melalui polisi ini, pelbagai perkara serta situasi yang timbul.  Saya yakin tentu anda juga pernah mengalami keadaan seperti ini.  Pelanggan selalunya ingin kepuasan serta perkhidmatan yang baik untuk mereka.  Tidak sukar untuk memberikan layanan serta khidmat layanan yang baik kepada pelanggan jika pelanggan tersebut juga memberikan tindak balas atau komunikasi yang baik.  

      Namun, yang menjadi permasalah ialah, pelanggan selalu merasakan bahawa mereka adalah raja.  walaupun polisi perniagaan tersebut mengutamakan kepuasan serta khidmat pelanggan yang baik, namun selaku orang yang bertanggungjawab memberikan khidmat pelanggan dan layanan kepada pelanggan, mereka juga mempunyai perasaan seperti orang biasa.  Mereka juga inginkan pelanggan bersikap baik serta menghormati mereka.  Di bawah ini adalah contoh situasi yang sering dihadapi oleh pekerja atau golongan penyedia khidmat pelanggan.

          Pekerja         :  Ramainya pelanggan  hari ini.  Lenguh 
                                  jugak berdiri lama-lama macam ni.
          Pelanggan     :   Dik order.
          Pekerja         :   Ya encik ini menu kami.  Nak makan 
                                   apa encik?
          Pelanggan 1  :   Sayang nak makan apa?
          Pelanggan 2  :   Sayang ikut jer apa abang nak makan.
          Pekerja         :   (Sabar menunggu pesanan pelanggan)
          Pelanggan 1  :    Erm, fresh orenge 2, nasi kandar 2.
          Pekerja         :   Ada apa-apa lagi encik nak tambah?
          Pelanggan 1  :    Itu jer.

          Beberapa minit kemudian pekerja datang membawa
 hidangan makanan yang dipesan.
          
           Pelanggan 2   :   Sayang, I nak gi ladies jap.  
                                    (bangun tanpa perasan pekerja 
                                    datang dari arah tepi)
           Pekerja         :   Allah!  Maaf cik saya tak sengaja. 
                                    (hidangan tertumpah di baju 
                                     pelanggan 2)
           Pelanggan 1   :   Hoi! Kau buta ker apa? Mata letak
                                    kat mana ha?
                                    (Berkata dengan marahnya)
           Pekerja         :   Saya betul-betul tak sengaja encik.  
                                   Saya mintak maaf sangat-sangat.
                                   ( mula berasa kecut perut dengan 
                                   nasibnya, kerana takut diberhentikan)
            Pelanggan 1  :   Lain kali mata letak dekat muka, 
                                    bukan dekat kaki! Mana bos kau? 
            Pekerja        :   Encik, tolongla encik.Saya tak 
                                   sengaja saya mintak maaf.
            Pelanggan 2  :   Tak payah nak merayu-merayu.  
                                    Kau nie patut kena pecat jer!
                                    (berkata dengan kesat dan angkuh)

Adakah anda pernah melihat situasi seperti ini?  Tentu anda kasihan melihat nasib pekerja di atas bukan? Kenapa perlu kita bersikap sedemikian sedangkan pekerja tersebut telah merayu dan meminta maaf.  Sememangnya pekerja tersebut tidak bersalah.  Mana perginya budi bahasa pelanggan tersebut ketika dalam keadaan marah?  Tidak bolehkah selesaikan masalah dengan tenang dan secara baik?  Sungguh sukar untuk kita melihat masyarakat kini, khusunya pelanggan menampilkan sikap yang terbuka jika mempunyai masalah dengan pekerja kedai, atau pemberi khidmat pelangga.  

     Pelanggan sering terbawa-bawa dengan emosi dan hilang rasional ketika dalam keadaan kalut atau dalam masalah.   Oleh demikian, saya menyeru kepada anda semua, cubalah untuk bersikap baik dan berbudi sesama kita kerana pekerja juga manusia biasa yang mempunyai perasaan, maruah dan rasa malu.  Kita hanya manusia biasa yang tidak akan pernah lari dari melakukan kesilapan.  Selamat mencuba dan merubah diri kepada yang lebih positif!


Komik

     Berfikir sejenak, kenapa ada golongan yang terlalu suka dengan komik?  Adakah sebab komik-komik mensajikan cerita-cerita lucu yang boleh menghiburkan hati pembaca?  Terus-terang saya katakan, saya bukanlah seorang penggemar komik kerana saya tidak pandai melihat jalan ceritanya dengan baik.  Kadang-kadang, saya terpinga-pinga apabila membaca komik kerana susunan gambar yang tidak teratur menyebabkan jalan ceritanya lambat sampai ke dalam minda saya.

     Terdapat pelbagai jenis komik yang berada di pasaran mengikut tahap umur pembacanya.  Kanak-kanak lebih suka kepada komik yang berunsur cerita kartun yang juga turut ditayangkan di kaca televisyen.  Manakala, golongan remaja dan dewasa lebih suka kepada komik yang lebih tinggi tahap penceritaan serta konflik cerita dalam komik tersebut.  

     Namun, tidak dapat dinafikan bahawa, penggunaan bahasa dalam komik lebih bersifat ringan dengan menggunakan banyak bahasa rojak, bahasa slangan, bahasa pasar dan kadang-kala juga menggunakan bahasa dialek.  Pencemaran bahasa ini sepertinya tidak dapat dibendung kerana penggunaan bahasa-bahasa ini sebenarnya membuatkan jalan cerita komik lebih menyeronokkan dan mampu memberi unsur humor kepada pembacanya.  Jika dilihat secara realistik, tentu sahaja cerita buku komik akan menjadi kaku jika menggunakan bahasa baku ataupun bahasa standart.  

     Oleh demikian, pembaca tidak akan tertarik untuk membacanya dan sekali gus tidak akan mahu untuk membeli komik tersebut.  Tidak salah sebenarnya bagi penulis untuk menggunakan bahasa-bahasa seperti slanga, rojak, pasar, dialek atau bahasa selain daripada bahasa Melayu asli kerana itulah nilai yang boleh digunakan oleh penulis untuk menarik minat masyarakat untuk membaca bahan atau karya yang mereka hasilkan.  

      Namun, tanggungjawab pembaca adalah lebih diutamakan kerana, pembacalah yang akan menjadi pencemar bahasa jika pembaca terikut-ikut serta menggunakan bahasa-bahasa tersebut dalam pertuturan seharian.  Pembaca perlu bijak memilih bahasa yang sesuai untuk digunakan dalam pertuturan seharian kerana bahasa itu melambangkan bangsa.  Jika buruk bahasa, maka buruklah bangsanya.  Oleh demikian, pembaca perlu lebih bijak untuk menapis penggunaan bahasa-bahasa dalam komik ini agar pencemaran bahasa tidak akan berlaku.

Salah satu komik yang menjadi kegemaran pembaca
"Shin Chan"

Rabu, Mac 16, 2011

Gaya dan Identiti

     Melihat kepada gaya remaja kini, semuanya ingin tampil dengan identiti tersendiri.  Remaja masa kini ingin tampil menarik serta mempunyai daya tarikan tersendiri.  Terdapat pelbagai gaya dan penampilan remaja yang menjadi tontonan kepada masyarakat.  Ada yang berpakaian sopan, ada yang berpakaian ranggi, ada yang berpakaian sporty, ada yang berpakaian funky dan punk serta tidak kurang pula remaja yang berpakaian seksi.

     Semua ini adalah suatu yang sudah biasa ditontonkan kepada masyarakat umum.  Golongan remaja kini lebih suka tampil pelik, tersendiri dan lain dari yang lain.  Setiap penampilan ini juga mempunyai gaya pertuturan tersendiri.  Jika seseorang itu mempunyai penampilan yang agak up to date mereka berasakan mereka perlu bertutur secara up to date juga iaitu berbahasa Inggeris.  Manakala, remaja yang tampil dengan gaya punk dan gaya yang sedikir menyesakkan pandangan akan lebih suka bertutur dalam bahasa slanga seperti gua, lu, cikaro, awek, pakwe dan sebagainya adalah bahasa yang biasa ditutrkan oleh golongan ini.

     Manakala dolongan remaja yang tampil biasa dan sederhana sering dilihar menggunakan bahasa yang biasa dan lebih sopan.  Namun masih menggunakan bahasa rojak serta pengaruh daerah masing-masing kerana golongan ini mempunyai jati diri yang kuat kepada bahasa ibunda mereka.  Tidak salah cuba untuk tampil menarik serta mempunyai gaya tersendiri, tetapi gaya yang dipertontonkan itu perlulah sesuai dengan persekitaran kerana terdapat remaja yang tampil tidak sesuai dengan persekitarannya seperti berpakaian agak menjolok mata dalam sesebuah kenduri kendara.  Perkara seperti ini sedikit bertentangan dengan adat dan budaya ketimuran masyarakat kita.

     Para remaja  perlulah tahu membezakan gaya yang memberi keselesaan kepada dirinya dan orang lain kerana masyarakat umumlah yang menilai gaya mereka dan keselesaan itu sangat penting bagi mewujudkan komunikasi yang baik dan keselesaan bersama.  Disamping itu, gaya penampilan seseorang akan membawa maruah diri serta maruah keluarga.  Oleh demikian, remaja perlu lebih bijak memilih gaya mereka dan cuba untuk mengekalkan budaya ketimuran masyarakat kita.


Limpas

     Teringat kisah saya masa saya berada di kampung.  Masyarakat di negeri Sabah merupakan masyarakat yang mempunyai pelbagai bahasa mengikut daerah dan suku kaumnya.  Namun, terdapat juga bahasa yang memang menjadi bahasa pertuturan harian bagi masyarakat di Sabah dan diketahui oleh seluruh penduduknya.

     Setelah beberapa tahun berada di tanah Semenanjung ini, saya cuba untuk membiasakan bahasa Melayu standart bagi memudahkan proses pembelajaran dan memudahkan saya apabila masuk ke alam pekerjaan.  Bagi pengetahuan anda, Limpas bermaksud lalu.  Disebabkan saya cuba untuk menggunakan bahasa standart, dijadikan cerita, ketika saya jalan bersama keluarga di bandar Tawau, keadaan sedikit sesak dan orang ramai bergerak secara berpusu-pusu 

     Apabila keadaan agak menghimpit, saya bertindak untuk meminta laluan daripada orang lain agar saya dan  emak saya dapat bergerak dengan lebih selesa.  

     Saya               : Tumpang lalu cik, tumpang lalu.
     Orang awam   : Sambil memandang pelik kepada saya memberikan
                              laluan.
     Saya               : Kenapa orang tu pandang semacam ya?
                             (berbisik dalam hati)
     Mak               : Limpas sikit ya nak.
     Orang awam   : Ya limpas la macik.  
     Saya               : (Berbicara dalam hati) Ya Allah, bikin malu sak aku ni,
                               boleh pulak terlepas cakap begitu. Patut pun lain-lain
                              jak orang meninguk) 
                              * Ya Allah, aku ni buat malu jer, boleh pula tersasul
                              cakap bahasa standart.  Patutlah orang pandang semacam.

    Jika diingat kembali, lucu rasanya melihat pandangan sinis orang awam kepada saya pada waktu itu.  Pandangan itu menunjukkan bahawa, mereka berfikir kemungkinan saya adalah seorang anak jati yang lupa pada asal usul saya.  Hehehe hanya kerana tersilap kata, orang boleh berfikiran sebegitu kepada saya.

    Lain pula cerita di saya di Semenanjung ini apabila pertama kali rakan serumah saya pada semseter satu mendengar perkataan 'limpas'.  

     Saya    : Limpas dulu Yati, Kak Ucie nak ambil keluar.
                   (berdekatan pintu)
     Yati     : Ha. lipas mana Kak Ucie? ( terus melompat kerana terkejut)
     saya    : Ish, Kak Ucie bukan kata lipaslah, Kak Ucie nak limpas. 
                  Nak lalu maksudnya. Hehehe
     Yati     : Oh nak lalu. Kak Ucie ni, cakaplah terang-terang.
     

Gadget

     Tentu anda tahu bukan barangan gadget di pasaran?  Apakah koleksi gadget yang anda punyai?  Gadget adalah gaya semasa bagi para remaja dan juga golongan masyarakat dunia.  Pelbagai jenis gadget yang kini berada di pasaran.  Di Malaysia khususnya, golongan remaja merupakan penyumbang utama kepada pembelian gadget ini yang juga dikenali sebagai barangan elektronik. Terdapat banyak kedai-kedai yang menjual barangan gadget ini dan pusat terbesar di Malaysia adalah di Plaza Low Yat yang terletak di Bukit Bintang.

     Golongan penggemar gadget sanggup menghabiskan wang beribu-ribu untuk memiliki barangan tersebut.  Namun, apakah nilai sebenar yang terdapat pada barangan gadget tersebut? Persoalan yang ingin saya timbulkan di sini adalah penggunaan bahasa yang diprogramkan untuk sesuatu barangan gadget.  

     Tidak dinafikan bahawa kebanyakkan keluaran dan pengilangan barangan gadget ini adalah di luar negara.  Oleh demikian, Masyarakat sangat terdedah dengan penggunaan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris dalam mengendalikan serta menggunakan barangan gadget tersebut.  Bahasa Melayu sememangnya sedikit terpinggir penggunaannya kerana masyarakat lebih selesa menggunakan aplikasi bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu sendiri.  

     Mengapakah keadaan ini boleh terjadi? Adakah kerana masyarakat lebih mengagung-agungkan bahasa asing lebih daripada bahasa kita sendiri?  Bahasa itu merupakan identiti kita.  Kenapa tidak kita menggunakan bahasa Melayu untuk aplikasi-aplikasi barangan gadget yang kita punyai?  Bukan untuk memuji diri, tetapi saya menggunakan aplikasi bahasa Melayu untk blog dan juga laman sosial "Facebook" saya.  Saya lebih selesa menggunakan bahasa yang saya biasa gunakan berbanding bahasa lain.  Bagi meningkatkan rasa cinta pada bahasa kita, saya menyeru kepada masyarakat diluar untuk cuba menggunakan aplikasi bahasa Melayu dalam gadget anda. Selamat mencuba!
     

Senyumlah

Pabila namanya ditanya dia masam,
Namun begitu jelingannya aku paham,
Senyumlah-senyumlah ahaiii cek mek molek,
Senyumlah-senyumlah ahaiii cek mek molek,
Senyumlah-senyumlah ahaiii cek mek molek.

     Hehehe...tentu anda tahu bukan rangkap lirik lagu di atas? Senyum seindah suria, senyum bagaikan bunga, senyum itu satu sedekah.  Bak kata Dato' M. Daud Kilau, senyumlah ahai cek mek molek.  Tentu yang membaca celoteh saya sekarang ini tengah tersenyum bukan? Alhamdulillah dapat lagi satu pahala. Hehehe

     Sebenarnya, beberapa hari yang lepas saya telah pergi ke sebuah kedai di pekan Tanjong Malim untuk mencari pasu bunga bagi projek saya.  Saya sempat masuk ke beberapa buah kedai untuk mencari pasu bunga tersebut.  Tiba di sebuah kedai, saya pun masuk mencari benda yang ingin saya beli.  Dua kali putar saya tidak bentuk pasu yang saya inginkan.  Saya pun memutuskan untuk bertanya kepada pekerja di kedai tersebut.

     Saya     : Err, ada tak pasu bunga yang bentuk panjang?
     Pekerja : Tengoklah kat situ. (Dengan muka yang masam)
     Saya     : Dah, yang bulat jer ada.
     Pekerja : Kalau tak ade kat situ, tak de lah. (terus berlalu)
     Saya     : Ih, kenapalah orang ni? Tak dapat gaji dua bulan ker ape? (terpinga-pinga)

     Rasa pelik pun ada, geram pun ada, tapi nak buat macam manakan? Hehehe senyum jerla...

Tentu anda juga pernah mengalami situasi seperti yang saya ceritakan di atas? Sebenarnya, itu bukanlah pertama kali saya menerima layanan pekerja atau pemilik kedai yang saya kunjungi.  Apalah salahnya jika menjawab pertanyaan pelanggan dengan baik dan yang paling penting jawab dengan senyuman.  Tentu pelanggan pun akan rasa gembira dan mungkin akan tertarik untuk membeli barangan lain.

  Namun, memang sukar untuk mencari pemilik kedai mahupun pekerja yang boleh memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan dengan senyuman manis di wajah.  Senyuman itu adalah sedekah. Jadi, amalkanlah selalu kerana senyuman juga suatu senaman muka untuk kelihatan awet muda.  Kepada pemilik kedai, penjual dan pekerja di kedai, restoran, gerai dan di mana jua, lontarkanlah senyuman kepada pelanggan anda kerana pelanggan akan rasa lebih dihargai dan disenangi.



   

Berterima Kasih


Terima Kasih
   
Situasi 1
      Adik     : Bang burger ayam satu.
     Abang  : Ok dik.( beberapa minit kemudian). Adik, burger ayam siap. 
     Adik     : Berapa bang?
     Abang  : Dua ringgit dik.
     Adik     : Beli ya bang (sambil menghulurkan wang)
     Abang   : Ya jual dik. (menerima huluran wang) Terima kasih, datang lagi.
     Adik     : Ya sama-sama.

Situasi 2
     Along   :  Assalamualaikum mak.
     Mak     : Wa'alaikumsalam. Ha dah sampai pun anak mak.
     Along    : Mak sihat? (Sambil tunduk mencium tangan dan memeluk
                    tubuh emak).
     Mak     : Sihat alhamdulillah.
     Along   : Ha mak ni buah tangan untuk mak dari Jakarta.
     Mak     : Iya? Terima kasih Long, susah-susah jer belikan mak.
     Along   : Sama-sama mak. Bukan untuk orang lain, untuk mak saya juga.

     Melihat kepada dua situasi yang berbeza di atas, kita dapat lihat bahawa amalan berterima kasih adalah amalan mulia.  Bukan susah untuk kita mengucapkan terima kasih.  Namun, terdapat sesetengah masyarakat yang susah sangat mengucapkan terima kasih.  Apalah salahnya mengucapkan terima kasih bila pemandu teksi menghantar penumpang sampai ke destinasi?  Kenapalah susah sangat ucapkan terima kasih bila Pak Ali tolong kenduri.

     Generasi muda atau kanak-kanak perlu diterapkan dengan nilai berterima kasih ini kerana sikap berterima kasih ini boleh menjadi satu tabiat jika selalu diamalkan.  Kalau kanak-kanak sudah diajar dan diasuh agar murah hati untuk mengucapkan terima kasih, maka bila dah besar nanti akan selalu menyejukkan hati.  Kepada sesiapa yang membaca celoteh saya di sini, saya ada pantun untuk anda juga.

Terima kasih daun keladi,
Lain kali saya berceloteh lagi. 

Situasi 13: Hormat-menghormati



     Adakah anda seorang yang mengamalkan sikap hormat-menghormati? Adakah anda tahu apa itu hormat-menghormati? Hormatilah orang yang lebih tua, menghormati orang lain, menghormati sesiapa sahaja kerana hormat-menghormati itu adalah sikap yang terpuji.  Media massa sering menjalankan kempen hormat-menghormati, berbudi bahasa dan pelbagai lagi kempen yang berkaitan dengan sikap masyarakat. 

     Sikap hormat-menghormati ini perlu ada dalam diri kerana, apabila kita menghormati orang lain, secara tidak langsung kita akan menjaga tingkah laku dan bertutur dengan kata yang sopan.  Oleh itu, kita harus bertunjangkan kepada nilai hormat-menghormati.  Banyak situasi kini yang memaparkan sikap masyarakat kita khususnya orang Melayu yang kaya dengan norma ketimuran semakin terhakis.  Bercakap ikut sedap lidah, tidak memikirkan perasaan orang lain dan bersikap pentingkan diri.  Situasi ini akan menjadi racun dalam perpaduan masyarakat jika berterusan.  

     Hormatlah sesiapa sahaja yang berada sekeliling anda seperti jiran, ahli keluarga, guru, rakan, penjual sayur, pekerja kilang dan sesiapa sahaja kerana sikap hormat-menghormati mampu menjadikan kehidupan lebih tenteram dan makmur.



Selasa, Mac 15, 2011

Situasi 12: Adab Bertamu

     Ambil tali panjang sedepa,
Makan manggis dengan bijinya;
Sampai mati takkan lupa,
Kerana manis hati budinya.

   Sudah menjadi adat masyarakat Melayu untuk hidup beradab dan mengamalkan sopan santun.  Namun, adat tersebut semakin terhakis dek perubahan zaman.  Saya bukanlah suka-suka nak memuji mak saya, tetapi dah  memang mak saya, mestilah saya pujikan? Hehehehe...

     Satu tabiat mak saya yang saya tidak akan pernah lupa, pesanan mak ketika saya hendak bertandang ke rumah orang.  Walaupun saya dah besar panjang begini, mak masih juga memberi pesana yang sama hinggakan saya mampu menghafal patah perkataan yang bakal diucapkan oleh mak.  Pesanan tersebut juga sering disampaikan kepada cucu-cucu mak saya. 

      Mak   :   Ucie mau pigi mana ni?  
      Saya  :   Ucie mau pigi rumah kawan ucie dulu ya mak.
      Mak   :   Bha yala, nanti kalau datang rumah orang tu
                  bagus-bagus. Jangan buat bukan-bukan di rumah
                  orang ya.  
      Ucie  :   Iya bha mak. Mamak ni macam ndak tau jak ucie
                   bha. Ndak labha jugak ucie buat bukan-bukan.
      Mak   :   Iyala mamak kasi tau jak.  
      Ucie  :   Bha ucie jalan dulu aa.  
      Mak   :   Nanti, kalau orang tua duduk di bawah, 
                    ucie jangan duduk di kerusi ya.  
      Ucia   : Iya. 

     Saya tahu segala apa yang diberitahu adalah untuk kebaikan saya kerana mak saya ingin orang lain melihat anaknya sebagai seorang anak yang tahu adap dan sopan santun.  Mak saya memang sangat menitik beratkan adab bertamu ini kerana kepada cucu-cucu, mak saya juga sering memberikan pesanan sedemikian.  

     Disebabkan pesanan tersebut sudah menjadi kebiasaan kepada mak saya, saya juga turut terbiasa mengamalkannya ketika berada di rumah orang lain.  Saya sentiasa ingat dengan pesanan tersebut.  Saya juga pasti anda diluar sana juga sama seperti saya.  Tentu ada pesanan yang sering diberikan oleh ibu, emak atau ummi anda ketika anda hendak bertamu ke rumah orang.  Saya pasti tentu sahaja ada bukan?
      
     Amalan berbudi bahasa, berdopan santun, beradab sesama insan sangat tinggi nilainya pada pandangan orang tua.  Oleh demikian, kita sebagai anak muda perlu menerapkan nilai-nilai tersebut agar menjadi jati diri kita terutamanya jati diri anak Melayu yang penuh dengan tatasusila, adab sopan dan nilai-nilai ketimuran.