Jumaat, Mac 25, 2011

Ajarlah Anak-Anak dengan Bahasa Melayu

     Budaya masyarakat kita kini sedikit tersasar pada dasar memperkasakan bahasa Melayu.  Hal demikian kerana, ibu bapa lebih suka untuk mengajar anak-anak berbahasa Inggeris berbanding berbahasa Melayu.  Walaupun ibu bapa menginginkan anak-anak bijak berbahasa Inggeris, namun ajarlah dahulu anak-anak tersebut dengan bahasa ibundanya.  Biarlah anak-anak benar-benar mengetahui bahasa Melayu terlebih dahulu sebelum mempelajari bahasa lain selain daripada bahasa ibundanya.  

     Memang benar mata pelajaran bahasa Inggeris penting kepada anak-anak apabila di sekolah dan memasuki alam pekerjaan.  Segala akan menjadi mudah jika anak-anak petah berbahasa Inggeris.  Namun, ibu bapa salah strategi kerana ketika kecil, anak-anak lebih didedahkan dengan bahasa Inggeris, tetapi tidak didedahkan dengan bahasa Melayu.  Bagi membolehkan anak-anak fasih berbahasa Inggeris, ibu bapa membelikan buku-buku bahasa Inggeris, memberi tontonan cerita-cerita bahasa Inggeris, memperdengarkan lagu-lagu bahasa Inggeris.  

     Tidakkah ibu bapa sedari bahawa mendedahkan anak-anak dengan bahan-bahan berasaskan bahasa Inggeris ini boleh menghakis sifat dan budaya orang Melayu itu sendiri.  Kanak-kanak akan mudah terpengaruh denga apa yang dilihat, didengar dan apa yang dibaca olehnya.  Oleh demikian, besar kemungkinan, anak-anak yang bakal lahir pada masa hadapan akan terhakis budaya orang Melayu dan bakal melupakan budayanya sendiri tetapi mengagungkan bahasa asing serta budaya baru yang sering diamalkan mereka dari kecil.

     Sedarlah masyarakat semua, sesungguhnya apa yang kita sajikan untuk anak-anak perlu mempunyai batasan dan fikiran jangka panjang.  Ibu bapa bertanggungjawab terhadap perkembangan anak-anak mereka. Oleh demikian, bijaklah mencari kaedah untuk membolehkan anak-anak menguasai bahasa ibunda sekaligus turut mempunyai penguasaan yang baik dalam bahasa lain.


Jangan...jangan...jangan

     Orang Melayu kaya dengan adat pantang larang.  Emak saya sendiri mempunyai banyak pantang larang.  Kononnya, nanti ada sesuatu yang terjadi jika kita lakukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan.  Jadi, mak saya selalu cakap jangan...jangan...jangan...

     Jika dikaitkan dengan bahasa dan pantang larang, terdapat beberapa pantang larangnya.  Contohnya, jangan menyanyi di dapur nanti dapat suami tua.  Pantang lain, jangan suka cakap besar di dalam hutan nanti dapat bencana, jadi kita kena jaga pertuturan kita.  Seterusnya, jangan becakap bila makan, terutama bila mulut penuh.  Banyak lagi pantang yang berkaitan dengan bahasa.  Orang tua-tua terdahulu membuat pantang sedemikian sebenarnya mempunyai sebab kerana setiap apa yang dilarang mempunyai kebaikannya.  

     Kalau menyanyi ketika di dapur, takut nanti masakan tidak menjadi dan hangus, kalau bercakap besar di hutan takut nanti mendapat bencana, jangan bercakap ketika makan takut nanti tersedak dan tercekik.  Namun, pantang larang ini ditutupi dengan pelbagai kiasan bagi membolehkan anak-anak takut untuk melakukannya seperti tidak ada perempuan yang ingin bersuami tua.

     Bahasa itu indah dan segala pantang larang ini diperindahkan dengan bahasa.  Oleh demikian, tiada salahnya jika terus mengamalkan pantang larang tersebut asalkan pantang larang tersebut tidak bertentangan denga akidah dan ajaran Islam.


Sinetron

     Sinetron? Tentu anda mengetahuinya bukan?  Sinetron merupakan rancangan televisyen yang memaparkan cerita-cerita drama dan filem negara Indonesia.  Cerita-cerita yang dipaparkan juga menarik dan menjadi kegilaan remaja serta ibu-ibu di rumah.  Walaupun cerita-cerita ini memaparkan hingga beratus-ratus episod, namun penontonnya tetap setia untuk kekal menonton sehingga tamat ceritanya.  

     Namun, menjadi fenomena baharu apabila, orang Malaysia sendiri terikut-ikut dengan pengaruh cerita-cerita Indonesia ini.  Masyarakat kita sudah terikut-ikut dengan penggunaan bahasa Indonesia.  Malah, anak-anak kecil juga terpengaruh dengan bahasa Indonesia.  Dahulu, pengaruh ini tersebar kerana masyarakat kita sering menggunakan khidmat pembantu rumah warga Indonesia.  Kini, isu baharu telah terjadi kerana kanak-kanak telah terpengaruh dengan bahasa Indonesia melalui cerita-cerita Sinetron dari Indonesia.

     Industri kita bukannya tidak mempunyai cerita-cerita menarik, tetapi mungkin kerana bayarannya agak mahal maka cerita-cerita yang dihasilkan oleh penggiat drama dan filem Malaysia agak suram dipaparkan di kaca televisyen.  Sebaliknya, cerita-cerita Sinetron inilah yang menjadi halwa mata penonton di rumah.  Cerita-cerita ini dipaparkan setiapa hari dan masyarakat kita secara tidak langsung terpengaruh pada setiap masa dengan bahasa Indonesia ini.

     Industri tanah air perlu bijak melakukan sesuatu pembaharuan terhadap industri perfileman dan drama di Malaysia.. Sebenarnya, perkembangan sesebuah bahasa boleh dilakukan melalui cerita-cerita drama dan filem.  Oleh demikian, kita industri kita perlu lebih bergiat aktif untuk menghasilkan drama-drama yang menarik dan filem-filem yang hebat untuk membantu perkembangan bahasa Melayu ke serata dunia agar lebih dikenali dan mudah dipelajari oleh warga negara lain.


Muridku yang keliru

     Hehehe...lucu rasanya apabila saya terkenang pengalaman pengajaran makro yang saya lakukan baru-baru ini.  Memang satu pengalaman yang menarik dan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.  Semakin berkobar-kobar jugak hati untuk mengajar murid-murid di sekolah yang sebenar nanti.  

     Namun, pengalaman yang paling sukar untuk dilupakan adalah murid-murid saya keliru dengan identiti saya.  Murid-murid saya menyangka bahawa saya berasal dari Indonesia.  Persoalannya, teruk sangatkah bahasa standart saya? Hehehe...mungkin kerana saya terbiasa menggunakan bahasa baku.  Oleh demikian, pelajar berasa sedikit janggal apabila saya bertutur sedemikian.  

     Menjadi satu persoalan apabila kita bertutur dengan bahasa baku.  Namun, saya sedikit sukar untuk berbahasa standart seperti orang di Tanah Melayu atau di Semenanjung Malaysia.  Hakikatnya, penggunaan bahasa Melayu di negeri Sabah lebih kebakuan berbanding di Semenanjung.  Sebab itulah, sukar untuk saya berbahasa sedemikian.  Sangat lucu apabila orang lain keliru dengan apa yang kita pertuturkan sedangkan kita adalah rakyat Malaysia.  Azam saya selepas ini, saya akan perbaiki pertuturan agar bakal murid-murid saya akan mudah memahami apa yang saya ujarkan kepada mereka.


Lawatan ke Kedah

     Sangat seronok apabila dapat melawat ke tempat-tempat menarik di Malaysia.  Baru-baru ini, saya telah pergi ke negeri Kedah untuk kali yang ketiga.  Walaupun itu adalah kali ketiga, namun sambutannya agak berbeza sedikit.  Tidak dinafikan bahawa, orang-orang Kedah sangat peramah dan mudah mesra dengan sesiapa juga.  Begitu juga yang berlaku kepada saya dan beberapa orang sahabat saya yang berkunjung ke Kedah.  

     Seronok rasanya apabila orang lain cuba untuk mempelajari bahasa kita.  Walaupun terdapat peribahasa masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum, namun situasinya tidak sama dengan saya.  Ahli keluarga sahabat saya pula yang cuba untuk mempelajari bahasa saya.  Saya dan rakan-rakan yang lain telah tumpang menginap di rumah seorang sahabat yang terletak di Felda Teloi Kanan.  Mungkin kerana jarang bertemu dan bergaul dengan orang Sabah, mereka nampak teruja untuk mempelajari dan mengetahui tentang bahasa Sabah dan budaya orang Sabah.

     Jika masyarakat kita sentiasa bersikap positif seperti ini, kita akan lebih mudah untuk memahami dan mengetahui semua tentang budaya dan bahasa orang lain.  Kita perlu bersikap terbuka untuk mempelajari sesuatu yang baharu.  Begitu juga dengan saya, saya cuba untuk terus mempelajari bahasa dan loghat orang Utara kerana sememangnya bahasanya agak unik dan berbeza dari bahasa daerah saya iaitu bahasa Sabah.

     Tiada ruginya jika kita mempelajari bahasa selain dari bahasa kita begitu juga dengan bahasa asing seperti bahasa Inggeris atau bahasa lain.  Namun, pengikat jati diri perlu ada kerana tiada bahasa yang lebih sesuai dengan diri kita melainkan bahasa ibunda kita sendiri.   


Jumaat, Mac 18, 2011

Bahasa Pasar

     Bahasa pasar bukanlah bahasa yang digunakan di pasar sayur, pasar ikan atau pasar raya.  Bahasa pasar merupakan ragam bahasa Melayu yang tidak betul jalan penggunaannya seperti bahasa terbalik, bahasa tergantung, atau bahasa yang dicipta sendiri oleh penduduk yang menduduki sesuatu kawasan tersebut.

     Saya berasal dari negeri Sabah dan untuk pengetahuan anda, bahasa pasar di Sabah ada banyak ragam dan jenis.  Bahasa pasar ini mengikut daerahnya tersendiri seperti;

Plastik= Kompek (Tawau, Semporna), Bahai(Sandakan, Kota Kinabalu)

Mengada-ada = Getek (Tawau, Lahad Datu, Sandakan) , Bidak (Kota Kinabalu)

Kereta sorong= Gerobak ( Tawau, Sandakan) Kereta Tolak (Kota Kinabalu)

Baldi = Ember ( Tawau, Lahad datu, Sandakan, Semporna), Baldi ( Kota Kinabalu)

Saya = Sa/ Sia ( Kota Kinabalu, Sandakan) Saya ( Tawau, Lahad datu, Semporna)

     Terdapat banyak lagi bahasa pasar ini, jika anda benar-benar ingin mempelajarinya, anda perlu datang melawat ke Sabah kerana pengalaman anda lebih berharga dari pengetahuan  umum.  Selamat datang ke Sabah.



Maggie

     Ada orang mengatakan bahawa mee segera adalah peneman setia untuk pelajar-pelajar di universiti. Benarkah begitu keadaannya?  Bagi saya tidak begitu kerana saya tidak menggemari mee segera sejak dulu lagi. Hehehehe...percayalah!

      Berbalik kepada isu mee segera ini, masyarakat tidak menyebutnya mee segara walaupun mereka tahu bahawa makanan tersebut adalah mee segera.  Masyarakat kita sering melabel semua mee segera dengan nama Maggie kerana jenama mee segera Mee Maggie merupakan jenama paling laris dan serasanya adalah pengeluar makanan mee segera  terawal di Malaysia.  

     Oleh demikian, semua orang melabel mee segera sebagai Maggie walaupun, mee segera tersebut bukan dari jenama Mee Maggie.  Begitu juga berlaku pada sesetengah baranagn lain seperti ubat gigi yang dilabel sebagai Colgate dan ubat serangga sebagai Ridsect.  Ini juga menjadi satu isu bahasa kerana masyarakat lebih suka melabel  satu barangan dengan satu nama walaupun mempunyai pelbagai jenama.