Ahad, Januari 23, 2011

Situasi 2

Bak kata "orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita menerima", begitulah amalan kehidupan yang sering diperingatkan oleh kedua orang tuaku.  Kini, hidupku sebagai seorang pelajar yang terpaksa merantau jauh untuk mencari ilmu serta menimba pengetahuan dan pengalaman membuatkan aku menyedari bahawa pesanan orang tuaku itu sangat berguna kepadaku. Bukan mudah bagiku untuk cuba menyesuaikan diri dengan suasana baru, budaya yang sedikit berbeza dengan budaya dan cara hidupku, namun itu semua 'alah bisa tegal biasa'.   Oleh demikian, pelbagai corak warna kehidupan telah aku lalui selama bergelar pelajar di UPSI ini.  

       Berbalik kepada pesanan orang tuaku, baru-baru ini kolej kediaman yang aku diami, Kolej Harun Aminurrashid telah melangsungkan Hari Terbuka Khar.  Setiap hari ramai pengunjung sama ada pelajar UPSI mahupun orang awam turut memeriahkan sambutan tersebut.  Bagi diriku, peluang untuk menikmati pelbagai juadah adalah keutamaan kerana untuk membeli-belah aku tiada wang.   tahu-tahu sajalah, duit pinjaman PTPTN belum masuk dalam akaun.  Bagus jugak, sebab mengelakkan aku dari membazir dan berbelanja yang bukan keperluan.  Makanan pilihanku dan juga rakan serumahku adalah "Char Kuey Teow".  Memang setiap malam aku dan kawan-kawan keluar untuk membeli char kuey teow di gerai tersebut.  

           Jujur aku katakan, char kuey teow di gerai itu memang sedap.  Lagi, yang menjadi tarikannya adalah, budi bahasa yang digunakan oleh pemilik gerai serta pekerja-pekerja di gerai itu sangat baik dan ramah orangnya.  Zaman sekarang, susah untuk kita berjumpa dengan orang yang mahu untuk memberi dengan ikhlas.  Itulah yang menariknya disini kerana, pemilik gerai tersebut sering memberi char kuey teow lebih dan air minuman free kepada kami kerana kami sering datang pada akhir-akhir waktu sebelum gerai char kuey teow tersebut hendak ditutup.  Pada pandanganku dan kawan-kawan serumahku, pemilik gerai char kuey teow tersebut sangat pemurah sebab gerai-gerai lain tidaklah bermurah hati seperti itu.  Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, oleh demikian, tangan yang merasa dan menerima pemberian tersebut  akan selalu mendoakan yang baik-baik kepada orang yang telah memberi itu.  

Komen: Bidalan Melayu ini sememangnya sudah lama digunapakai dalam kehidupan seharian.  Namun kini,, bidalan ini sudah semakin kurang diamalkan dalam budaya kehidupan kita kerana masyarakat kini lebih bersifat meterialistik.  Oleh demikian, bidalan "orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita menerima" perlu dipupuk semula dalam diri generasi muda agar masyarakat pada masa hadapan akan lebih menghargai kebaikan dan budi bahasa dalam kehidupan seharian mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan