Jumaat, Mac 18, 2011

Simpulan Bahasa

     Simpulan bahasa Melayu merupakan warisan orang Melayu terdahulu yang dicipta melalui pemerhatian serta situasi yang berlaku pada masa dahulu.  Orang tua-tua pada masa itu sangat kreatif dan bijak dalam menyusun kata, sebagai hiasan bahasa untuk disampaikan kepada masyarakat.  Hiasan bahasa ini adalah bertujuan untuk memberikan nasihat, pedoman, sindiran, tunjuk ajar serta pengajaran yang disampaikan secara halus, berkias, berselindung di balik kepuitisan bahasa.   

     Terdapat beribu-ribu bentuk simpulan bahasa yang disimpul untuk menjadi satu simpulan bahasa yang bermakna untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang nilai, budi, bahasa, sikap, cara berfikir, pandangan hidup dan banyak lagi yang semuanya berkaitan dengan kehidupan kita.

      Jika dilihat sekilas pandang, masih ramai masyarakat yang tidak mengetahui secara luas simpulan bahasa ini.  Saya sendiri mengakui bahawa penguasaan saya terhadap simpulan bahasa masih cetek.  Apabila memcari bahan bacaan yang berkaitan dengan simpulan bahasa, saya masih terpinga-pinga untuk mentakrifkan maksud dan mesej yang ingin disampaikan dalam sesuatu simpulan bahasa.  

 1)  Gunting Hati = Menggunting Hati
Maksud: Melukai perasaan.
Contoh Ayat: Perbuatan anak gadisnya yang lari dari rumah itu telah menggunting hatinya.


2) Lubuk Akal Lautan Budi
Maksud: Mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat luas dan banyak.
Contoh Ayat: Penduduk kampung akan merujuk kepada Tuk Sidang jika menghadapi sebarang kemusykilan kerana beliau seorang yang lubuk akal lautan budi.

3) Diam Penggali
Maksud: Orang yang diam dan memudaratkan dirinya.
Contoh Ayat: Kalau tidak faham hendaklah bertanya, jangan jadi diam penggali.


4) Biang Keladi 
Maksud: Orang atau hal yang menjadi punca kejahatan. 
Contoh Ayat: Rajoolah yang menjadi biang keladinya dalam kes kecurian lembu baru-baru ini. 

5) Hati Tungau = Berhati Tungau
Maksud: Penakut.
Contoh Ayat: Lingkau nampak sahaja berani tapi sebenarnya berhati tungau.

     Adakah anda mengetahui beberapa simpulan bahasa yang saya paparkan di atas?  Simpulan bahasa tersebut merupakan simpulan bahasa yang baru saya ketahui.  Masih terdapat banyak simpulan bahasa yang saya tidak ketahui namun tidak cukup untuk ditunjukkan di sini.  Oleh demikian, kita perlu menanam sikap cinta pada bahasa dengan mengambil tahu tentang simpulan bahasa ini untuk menambahkan pengetahuan serta 
ilmu dalam bahasa Melayu.



Mari Belajar Istilah Baru

     Perkembangan bahasa berlaku jika penuturnya sering menuturkan dan cuba untuk mengembangkan bahasanya.  Saya juga sedemikian kerana saya sangat suka untuk memperkenalkan bahasa saya, iaitu bahasa Dialek Sabah kepada orang lain khususnya kepada rakan-rakan saya kerana saya adalah pelajar yang sedang  menuntut ilmu di Semenanjung Malaysia.  

     Saya akan menunjukkan satu situasi dengan menggunakan beberapa bahasa dialek atau istilah baru untuk anda pelajari bersama.

Anah : Ish mana bha si Lisya celedak/getek ni? Dari tadi aku carik-carik ndak jumpa-jumpa.  Di mana jugak dia betapuk ni?

Ucie : Syapa jugak yang kau carik tu? Dari tadi lagi aku tinguk macam cacing.

Anah : Anu bha, aku cari si Lisya ni. Dari tadi lagi ndak sampai-sampai.  Ndak tau di mana jugak dia betapuk.

Ucie : Haha, mau jugak kau mencarik dia bha.  Sudah kau tau dia tu geger-geger. Kilik-kilik, mau jugak kau layan main sama dia.

Anah : Adakah kau tinguk dia?

Ucie : Ndak la ku tau. Di bawah kolong kalik dia. Di stor belakang tu bertapuk.

Anah : Gelap bha tu bilik stor. Ada senterka? Pinjam dulu aku. Mau jugak aku cari dia nie bha.


* Celedak/ getek = mengada-ada
* Betapuk           = Bersembunyi
* Tinguk             = tengok
* Macam Cacing= Tidak pandai diam/ ke hulu  ke hilir
*Anu                 = Errrrr (sedang berfikir)
*Ndak              = Tidak
*Sampai-sampai= belum tiba/ tidak muncul
*Tau                 = tahu
* Mencarik       = Mencari
* Geger-geger  = gila-gila
* kilik-kilik       = suka buat perkara yang tidak masuk akal
* bawah kolong= bawah rumah
* kalik              = Mungkin
* Senter            = lampu suluh

     Bagaimana semua? Adakah anda faham dengan situasi di atas.  Tentu sekali anda sudah memperoleh beberapa kosa kata istilah baru bukan?  Bahasa itu perlu dikongsikan bersama agar bahasa tersebut mampu berkembang kerana suatu bahasa akan terus berkembang jika penuturnya semakin ramai.


Sama Rupanya

     Mungkin sudah menjadi kebiasaan untuk seseorang yang berasal daripada sebuah negeri yang sama mengenali sesama mereka sendiri.  Saya yang berasal daripada negeri Sabah akan mudah untuk mengenali orang satu negeri dengan saya hanya dengan mendengar orang tersebut bertutur.  

     Kebetulan, baru-baru ini saya telah pergi ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan saudara saya.  Ketika kami singgah untuk menunaikan solat Zohor, kami sempat untuk bercerita dan bersembang dengan menggunakan bahasa dialek Sabah.  Sedang kami rancak berbual selepas menunaikan solat, seorang perempuan menyapa kami.

      Kakak   : Assalamualaikum, erm orang Sabah bha kan?
     Saya       : Iya, Sabah. Kakak pun orang Sabah kah?
     Kakak    : Iyalah bha.  Dengar-dengar jak kamu bercerita.  
                     Tau sudah orang Sabah.
     Sepupu   : Kakak Sabah di mana?
     Kakak    : Sia orang Sandakan.  Kamu bukan orang KK 
                      kan?
     Saya      : Ndak, kami orang Tawau.
     kakak     : Hehe...sudah sia agak. Dengar bahasa kamu
                     pun tau sudah.

*Sia= Saya
*jak= sahaja
*tau= tahu
*KK= Kota Kinabalu
*Ndak= Tidak

     Sebenarnya, walaupun negeri Sabah mempunyai bahasa dialek tersendiri, namun bunyi bahasa dialek tersebut dipengaruhi lagi dengan kedudukan geografi atau kawasan daerahnya.  Jika di kawasan Utara Sabah, bahasa dialek lebih pekat dan agak menekan sedikit ketika bercakap.  Di bawah kawasan Utara, kepekatan dialek Sabah itu semakin cair kerana orang-orang di kawasan daerah Sandakan, Lahad Datu, Telupit tidaklah sepekat bahada dialek di Utara Sabah.  Manakala, di Selatan Sabah, iaitu di daerah Tawau, Semporna dan Kunak, bahasa dialeknya lebih cair dan tidak kedengaran pun kepekatan telor Sabah tersebut.  Namun begitu, bahasa dialeknya masih sama, yang berbeza hanya telornya dan bunyi sahaja.  Begitulah serba sedikit pengenalan bahasa di negeri Sabah di Bawah Bayu.


Bahasa Sapaan

     Adakah anda tahu bagaimana anak-anak remaja menyapa rakan-rakan mereka? Di Tawau, bahasa sapaan ketika bertemu rakan yang selalu digunakan adalah 'Geng', 'Konco, 'Jo' atau 'Bosku'.  Kalau di Semenanjung mereka lebih suka menggunakan perkataan 'Bro' atau 'Der'.
     Contoh cara sapaan budak-budak remaja di Tawau adalah seperti ini:

    1) Ui geng/gink dari mana kau ni? 
    2) Jo sini luk lau bha kejap. 
    3) Hello bosku, lama ndak jumpa kau ni?
    4) Assalamualaikum, ish koncoku bha nie. 
        Sini bha duduk minum.

     Mereka jarang menggunakan panggilan atau sapaan dengan nama seseorang kerana memang begitulah cara sapaan mereka kerana menunjukkan mereka sangan rapat.  Jika mereka menyapa dengan panggilan nama, kemungkinan mereka hanya kawan biasa dan tidak rapat.  Begitu juga dengan golongan emaja perempuan, mereka lebih senang menggunakan sapaan tersebut atau lenggunakan sapaan 'Sumandak' yang merujuk keapda perempuan.  Berbeza dengan remaja di Semenanjung, rata-rata saya melihat mereka menggunakan sapaan nama seperti 'Bro' atau 'Der' seperti:

     1) Hello bro, wah lu dah pakai potor besar sekarang.
     2) Rileks der, marah-marah pun tak dapat per.

     Kata sapaan sebegini lebih lazim digunakan oleh golongan remaja lelaki, kerana kata sapaan 'bro' dan 'der' tersebut merujuk kepada lelaki.  Bagi golongan remaja perempuan pula, sapaan nama lebih biasa digunakan atau penggunaan bahasa Inggeris seperti 'guys' dan 'you all'.

     Kata sapaan ini adalah mengikut situasi dan keselesaan penutur.  Semua bentuk sapaan ini adalah pengaruh daripada bahasa asing yang dan juga bahasa slanga yang dicipta sendiri oleh golongan remaja untuk menampakkan identiti meraka.  Bahasa sapaan ini juga sudah diterima pakai oleh masyarakat disekeliling.

Hello Gink!

Khamis, Mac 17, 2011

Pelanggan Selalu Benar

     Tentu anda tahu bukan dengan maksud tajuk celoteh saya pada kali ini?  Pelanggan selalu benar! Memang benar itulah polisi perniagaan yang selalu digunakan oleh para peniaga.  Melalui polisi ini, pelbagai perkara serta situasi yang timbul.  Saya yakin tentu anda juga pernah mengalami keadaan seperti ini.  Pelanggan selalunya ingin kepuasan serta perkhidmatan yang baik untuk mereka.  Tidak sukar untuk memberikan layanan serta khidmat layanan yang baik kepada pelanggan jika pelanggan tersebut juga memberikan tindak balas atau komunikasi yang baik.  

      Namun, yang menjadi permasalah ialah, pelanggan selalu merasakan bahawa mereka adalah raja.  walaupun polisi perniagaan tersebut mengutamakan kepuasan serta khidmat pelanggan yang baik, namun selaku orang yang bertanggungjawab memberikan khidmat pelanggan dan layanan kepada pelanggan, mereka juga mempunyai perasaan seperti orang biasa.  Mereka juga inginkan pelanggan bersikap baik serta menghormati mereka.  Di bawah ini adalah contoh situasi yang sering dihadapi oleh pekerja atau golongan penyedia khidmat pelanggan.

          Pekerja         :  Ramainya pelanggan  hari ini.  Lenguh 
                                  jugak berdiri lama-lama macam ni.
          Pelanggan     :   Dik order.
          Pekerja         :   Ya encik ini menu kami.  Nak makan 
                                   apa encik?
          Pelanggan 1  :   Sayang nak makan apa?
          Pelanggan 2  :   Sayang ikut jer apa abang nak makan.
          Pekerja         :   (Sabar menunggu pesanan pelanggan)
          Pelanggan 1  :    Erm, fresh orenge 2, nasi kandar 2.
          Pekerja         :   Ada apa-apa lagi encik nak tambah?
          Pelanggan 1  :    Itu jer.

          Beberapa minit kemudian pekerja datang membawa
 hidangan makanan yang dipesan.
          
           Pelanggan 2   :   Sayang, I nak gi ladies jap.  
                                    (bangun tanpa perasan pekerja 
                                    datang dari arah tepi)
           Pekerja         :   Allah!  Maaf cik saya tak sengaja. 
                                    (hidangan tertumpah di baju 
                                     pelanggan 2)
           Pelanggan 1   :   Hoi! Kau buta ker apa? Mata letak
                                    kat mana ha?
                                    (Berkata dengan marahnya)
           Pekerja         :   Saya betul-betul tak sengaja encik.  
                                   Saya mintak maaf sangat-sangat.
                                   ( mula berasa kecut perut dengan 
                                   nasibnya, kerana takut diberhentikan)
            Pelanggan 1  :   Lain kali mata letak dekat muka, 
                                    bukan dekat kaki! Mana bos kau? 
            Pekerja        :   Encik, tolongla encik.Saya tak 
                                   sengaja saya mintak maaf.
            Pelanggan 2  :   Tak payah nak merayu-merayu.  
                                    Kau nie patut kena pecat jer!
                                    (berkata dengan kesat dan angkuh)

Adakah anda pernah melihat situasi seperti ini?  Tentu anda kasihan melihat nasib pekerja di atas bukan? Kenapa perlu kita bersikap sedemikian sedangkan pekerja tersebut telah merayu dan meminta maaf.  Sememangnya pekerja tersebut tidak bersalah.  Mana perginya budi bahasa pelanggan tersebut ketika dalam keadaan marah?  Tidak bolehkah selesaikan masalah dengan tenang dan secara baik?  Sungguh sukar untuk kita melihat masyarakat kini, khusunya pelanggan menampilkan sikap yang terbuka jika mempunyai masalah dengan pekerja kedai, atau pemberi khidmat pelangga.  

     Pelanggan sering terbawa-bawa dengan emosi dan hilang rasional ketika dalam keadaan kalut atau dalam masalah.   Oleh demikian, saya menyeru kepada anda semua, cubalah untuk bersikap baik dan berbudi sesama kita kerana pekerja juga manusia biasa yang mempunyai perasaan, maruah dan rasa malu.  Kita hanya manusia biasa yang tidak akan pernah lari dari melakukan kesilapan.  Selamat mencuba dan merubah diri kepada yang lebih positif!


Komik

     Berfikir sejenak, kenapa ada golongan yang terlalu suka dengan komik?  Adakah sebab komik-komik mensajikan cerita-cerita lucu yang boleh menghiburkan hati pembaca?  Terus-terang saya katakan, saya bukanlah seorang penggemar komik kerana saya tidak pandai melihat jalan ceritanya dengan baik.  Kadang-kadang, saya terpinga-pinga apabila membaca komik kerana susunan gambar yang tidak teratur menyebabkan jalan ceritanya lambat sampai ke dalam minda saya.

     Terdapat pelbagai jenis komik yang berada di pasaran mengikut tahap umur pembacanya.  Kanak-kanak lebih suka kepada komik yang berunsur cerita kartun yang juga turut ditayangkan di kaca televisyen.  Manakala, golongan remaja dan dewasa lebih suka kepada komik yang lebih tinggi tahap penceritaan serta konflik cerita dalam komik tersebut.  

     Namun, tidak dapat dinafikan bahawa, penggunaan bahasa dalam komik lebih bersifat ringan dengan menggunakan banyak bahasa rojak, bahasa slangan, bahasa pasar dan kadang-kala juga menggunakan bahasa dialek.  Pencemaran bahasa ini sepertinya tidak dapat dibendung kerana penggunaan bahasa-bahasa ini sebenarnya membuatkan jalan cerita komik lebih menyeronokkan dan mampu memberi unsur humor kepada pembacanya.  Jika dilihat secara realistik, tentu sahaja cerita buku komik akan menjadi kaku jika menggunakan bahasa baku ataupun bahasa standart.  

     Oleh demikian, pembaca tidak akan tertarik untuk membacanya dan sekali gus tidak akan mahu untuk membeli komik tersebut.  Tidak salah sebenarnya bagi penulis untuk menggunakan bahasa-bahasa seperti slanga, rojak, pasar, dialek atau bahasa selain daripada bahasa Melayu asli kerana itulah nilai yang boleh digunakan oleh penulis untuk menarik minat masyarakat untuk membaca bahan atau karya yang mereka hasilkan.  

      Namun, tanggungjawab pembaca adalah lebih diutamakan kerana, pembacalah yang akan menjadi pencemar bahasa jika pembaca terikut-ikut serta menggunakan bahasa-bahasa tersebut dalam pertuturan seharian.  Pembaca perlu bijak memilih bahasa yang sesuai untuk digunakan dalam pertuturan seharian kerana bahasa itu melambangkan bangsa.  Jika buruk bahasa, maka buruklah bangsanya.  Oleh demikian, pembaca perlu lebih bijak untuk menapis penggunaan bahasa-bahasa dalam komik ini agar pencemaran bahasa tidak akan berlaku.

Salah satu komik yang menjadi kegemaran pembaca
"Shin Chan"

Rabu, Mac 16, 2011

Gaya dan Identiti

     Melihat kepada gaya remaja kini, semuanya ingin tampil dengan identiti tersendiri.  Remaja masa kini ingin tampil menarik serta mempunyai daya tarikan tersendiri.  Terdapat pelbagai gaya dan penampilan remaja yang menjadi tontonan kepada masyarakat.  Ada yang berpakaian sopan, ada yang berpakaian ranggi, ada yang berpakaian sporty, ada yang berpakaian funky dan punk serta tidak kurang pula remaja yang berpakaian seksi.

     Semua ini adalah suatu yang sudah biasa ditontonkan kepada masyarakat umum.  Golongan remaja kini lebih suka tampil pelik, tersendiri dan lain dari yang lain.  Setiap penampilan ini juga mempunyai gaya pertuturan tersendiri.  Jika seseorang itu mempunyai penampilan yang agak up to date mereka berasakan mereka perlu bertutur secara up to date juga iaitu berbahasa Inggeris.  Manakala, remaja yang tampil dengan gaya punk dan gaya yang sedikir menyesakkan pandangan akan lebih suka bertutur dalam bahasa slanga seperti gua, lu, cikaro, awek, pakwe dan sebagainya adalah bahasa yang biasa ditutrkan oleh golongan ini.

     Manakala dolongan remaja yang tampil biasa dan sederhana sering dilihar menggunakan bahasa yang biasa dan lebih sopan.  Namun masih menggunakan bahasa rojak serta pengaruh daerah masing-masing kerana golongan ini mempunyai jati diri yang kuat kepada bahasa ibunda mereka.  Tidak salah cuba untuk tampil menarik serta mempunyai gaya tersendiri, tetapi gaya yang dipertontonkan itu perlulah sesuai dengan persekitaran kerana terdapat remaja yang tampil tidak sesuai dengan persekitarannya seperti berpakaian agak menjolok mata dalam sesebuah kenduri kendara.  Perkara seperti ini sedikit bertentangan dengan adat dan budaya ketimuran masyarakat kita.

     Para remaja  perlulah tahu membezakan gaya yang memberi keselesaan kepada dirinya dan orang lain kerana masyarakat umumlah yang menilai gaya mereka dan keselesaan itu sangat penting bagi mewujudkan komunikasi yang baik dan keselesaan bersama.  Disamping itu, gaya penampilan seseorang akan membawa maruah diri serta maruah keluarga.  Oleh demikian, remaja perlu lebih bijak memilih gaya mereka dan cuba untuk mengekalkan budaya ketimuran masyarakat kita.