Rabu, Mac 16, 2011

Limpas

     Teringat kisah saya masa saya berada di kampung.  Masyarakat di negeri Sabah merupakan masyarakat yang mempunyai pelbagai bahasa mengikut daerah dan suku kaumnya.  Namun, terdapat juga bahasa yang memang menjadi bahasa pertuturan harian bagi masyarakat di Sabah dan diketahui oleh seluruh penduduknya.

     Setelah beberapa tahun berada di tanah Semenanjung ini, saya cuba untuk membiasakan bahasa Melayu standart bagi memudahkan proses pembelajaran dan memudahkan saya apabila masuk ke alam pekerjaan.  Bagi pengetahuan anda, Limpas bermaksud lalu.  Disebabkan saya cuba untuk menggunakan bahasa standart, dijadikan cerita, ketika saya jalan bersama keluarga di bandar Tawau, keadaan sedikit sesak dan orang ramai bergerak secara berpusu-pusu 

     Apabila keadaan agak menghimpit, saya bertindak untuk meminta laluan daripada orang lain agar saya dan  emak saya dapat bergerak dengan lebih selesa.  

     Saya               : Tumpang lalu cik, tumpang lalu.
     Orang awam   : Sambil memandang pelik kepada saya memberikan
                              laluan.
     Saya               : Kenapa orang tu pandang semacam ya?
                             (berbisik dalam hati)
     Mak               : Limpas sikit ya nak.
     Orang awam   : Ya limpas la macik.  
     Saya               : (Berbicara dalam hati) Ya Allah, bikin malu sak aku ni,
                               boleh pulak terlepas cakap begitu. Patut pun lain-lain
                              jak orang meninguk) 
                              * Ya Allah, aku ni buat malu jer, boleh pula tersasul
                              cakap bahasa standart.  Patutlah orang pandang semacam.

    Jika diingat kembali, lucu rasanya melihat pandangan sinis orang awam kepada saya pada waktu itu.  Pandangan itu menunjukkan bahawa, mereka berfikir kemungkinan saya adalah seorang anak jati yang lupa pada asal usul saya.  Hehehe hanya kerana tersilap kata, orang boleh berfikiran sebegitu kepada saya.

    Lain pula cerita di saya di Semenanjung ini apabila pertama kali rakan serumah saya pada semseter satu mendengar perkataan 'limpas'.  

     Saya    : Limpas dulu Yati, Kak Ucie nak ambil keluar.
                   (berdekatan pintu)
     Yati     : Ha. lipas mana Kak Ucie? ( terus melompat kerana terkejut)
     saya    : Ish, Kak Ucie bukan kata lipaslah, Kak Ucie nak limpas. 
                  Nak lalu maksudnya. Hehehe
     Yati     : Oh nak lalu. Kak Ucie ni, cakaplah terang-terang.
     

Gadget

     Tentu anda tahu bukan barangan gadget di pasaran?  Apakah koleksi gadget yang anda punyai?  Gadget adalah gaya semasa bagi para remaja dan juga golongan masyarakat dunia.  Pelbagai jenis gadget yang kini berada di pasaran.  Di Malaysia khususnya, golongan remaja merupakan penyumbang utama kepada pembelian gadget ini yang juga dikenali sebagai barangan elektronik. Terdapat banyak kedai-kedai yang menjual barangan gadget ini dan pusat terbesar di Malaysia adalah di Plaza Low Yat yang terletak di Bukit Bintang.

     Golongan penggemar gadget sanggup menghabiskan wang beribu-ribu untuk memiliki barangan tersebut.  Namun, apakah nilai sebenar yang terdapat pada barangan gadget tersebut? Persoalan yang ingin saya timbulkan di sini adalah penggunaan bahasa yang diprogramkan untuk sesuatu barangan gadget.  

     Tidak dinafikan bahawa kebanyakkan keluaran dan pengilangan barangan gadget ini adalah di luar negara.  Oleh demikian, Masyarakat sangat terdedah dengan penggunaan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris dalam mengendalikan serta menggunakan barangan gadget tersebut.  Bahasa Melayu sememangnya sedikit terpinggir penggunaannya kerana masyarakat lebih selesa menggunakan aplikasi bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu sendiri.  

     Mengapakah keadaan ini boleh terjadi? Adakah kerana masyarakat lebih mengagung-agungkan bahasa asing lebih daripada bahasa kita sendiri?  Bahasa itu merupakan identiti kita.  Kenapa tidak kita menggunakan bahasa Melayu untuk aplikasi-aplikasi barangan gadget yang kita punyai?  Bukan untuk memuji diri, tetapi saya menggunakan aplikasi bahasa Melayu untk blog dan juga laman sosial "Facebook" saya.  Saya lebih selesa menggunakan bahasa yang saya biasa gunakan berbanding bahasa lain.  Bagi meningkatkan rasa cinta pada bahasa kita, saya menyeru kepada masyarakat diluar untuk cuba menggunakan aplikasi bahasa Melayu dalam gadget anda. Selamat mencuba!
     

Senyumlah

Pabila namanya ditanya dia masam,
Namun begitu jelingannya aku paham,
Senyumlah-senyumlah ahaiii cek mek molek,
Senyumlah-senyumlah ahaiii cek mek molek,
Senyumlah-senyumlah ahaiii cek mek molek.

     Hehehe...tentu anda tahu bukan rangkap lirik lagu di atas? Senyum seindah suria, senyum bagaikan bunga, senyum itu satu sedekah.  Bak kata Dato' M. Daud Kilau, senyumlah ahai cek mek molek.  Tentu yang membaca celoteh saya sekarang ini tengah tersenyum bukan? Alhamdulillah dapat lagi satu pahala. Hehehe

     Sebenarnya, beberapa hari yang lepas saya telah pergi ke sebuah kedai di pekan Tanjong Malim untuk mencari pasu bunga bagi projek saya.  Saya sempat masuk ke beberapa buah kedai untuk mencari pasu bunga tersebut.  Tiba di sebuah kedai, saya pun masuk mencari benda yang ingin saya beli.  Dua kali putar saya tidak bentuk pasu yang saya inginkan.  Saya pun memutuskan untuk bertanya kepada pekerja di kedai tersebut.

     Saya     : Err, ada tak pasu bunga yang bentuk panjang?
     Pekerja : Tengoklah kat situ. (Dengan muka yang masam)
     Saya     : Dah, yang bulat jer ada.
     Pekerja : Kalau tak ade kat situ, tak de lah. (terus berlalu)
     Saya     : Ih, kenapalah orang ni? Tak dapat gaji dua bulan ker ape? (terpinga-pinga)

     Rasa pelik pun ada, geram pun ada, tapi nak buat macam manakan? Hehehe senyum jerla...

Tentu anda juga pernah mengalami situasi seperti yang saya ceritakan di atas? Sebenarnya, itu bukanlah pertama kali saya menerima layanan pekerja atau pemilik kedai yang saya kunjungi.  Apalah salahnya jika menjawab pertanyaan pelanggan dengan baik dan yang paling penting jawab dengan senyuman.  Tentu pelanggan pun akan rasa gembira dan mungkin akan tertarik untuk membeli barangan lain.

  Namun, memang sukar untuk mencari pemilik kedai mahupun pekerja yang boleh memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan dengan senyuman manis di wajah.  Senyuman itu adalah sedekah. Jadi, amalkanlah selalu kerana senyuman juga suatu senaman muka untuk kelihatan awet muda.  Kepada pemilik kedai, penjual dan pekerja di kedai, restoran, gerai dan di mana jua, lontarkanlah senyuman kepada pelanggan anda kerana pelanggan akan rasa lebih dihargai dan disenangi.



   

Berterima Kasih


Terima Kasih
   
Situasi 1
      Adik     : Bang burger ayam satu.
     Abang  : Ok dik.( beberapa minit kemudian). Adik, burger ayam siap. 
     Adik     : Berapa bang?
     Abang  : Dua ringgit dik.
     Adik     : Beli ya bang (sambil menghulurkan wang)
     Abang   : Ya jual dik. (menerima huluran wang) Terima kasih, datang lagi.
     Adik     : Ya sama-sama.

Situasi 2
     Along   :  Assalamualaikum mak.
     Mak     : Wa'alaikumsalam. Ha dah sampai pun anak mak.
     Along    : Mak sihat? (Sambil tunduk mencium tangan dan memeluk
                    tubuh emak).
     Mak     : Sihat alhamdulillah.
     Along   : Ha mak ni buah tangan untuk mak dari Jakarta.
     Mak     : Iya? Terima kasih Long, susah-susah jer belikan mak.
     Along   : Sama-sama mak. Bukan untuk orang lain, untuk mak saya juga.

     Melihat kepada dua situasi yang berbeza di atas, kita dapat lihat bahawa amalan berterima kasih adalah amalan mulia.  Bukan susah untuk kita mengucapkan terima kasih.  Namun, terdapat sesetengah masyarakat yang susah sangat mengucapkan terima kasih.  Apalah salahnya mengucapkan terima kasih bila pemandu teksi menghantar penumpang sampai ke destinasi?  Kenapalah susah sangat ucapkan terima kasih bila Pak Ali tolong kenduri.

     Generasi muda atau kanak-kanak perlu diterapkan dengan nilai berterima kasih ini kerana sikap berterima kasih ini boleh menjadi satu tabiat jika selalu diamalkan.  Kalau kanak-kanak sudah diajar dan diasuh agar murah hati untuk mengucapkan terima kasih, maka bila dah besar nanti akan selalu menyejukkan hati.  Kepada sesiapa yang membaca celoteh saya di sini, saya ada pantun untuk anda juga.

Terima kasih daun keladi,
Lain kali saya berceloteh lagi. 

Situasi 13: Hormat-menghormati



     Adakah anda seorang yang mengamalkan sikap hormat-menghormati? Adakah anda tahu apa itu hormat-menghormati? Hormatilah orang yang lebih tua, menghormati orang lain, menghormati sesiapa sahaja kerana hormat-menghormati itu adalah sikap yang terpuji.  Media massa sering menjalankan kempen hormat-menghormati, berbudi bahasa dan pelbagai lagi kempen yang berkaitan dengan sikap masyarakat. 

     Sikap hormat-menghormati ini perlu ada dalam diri kerana, apabila kita menghormati orang lain, secara tidak langsung kita akan menjaga tingkah laku dan bertutur dengan kata yang sopan.  Oleh itu, kita harus bertunjangkan kepada nilai hormat-menghormati.  Banyak situasi kini yang memaparkan sikap masyarakat kita khususnya orang Melayu yang kaya dengan norma ketimuran semakin terhakis.  Bercakap ikut sedap lidah, tidak memikirkan perasaan orang lain dan bersikap pentingkan diri.  Situasi ini akan menjadi racun dalam perpaduan masyarakat jika berterusan.  

     Hormatlah sesiapa sahaja yang berada sekeliling anda seperti jiran, ahli keluarga, guru, rakan, penjual sayur, pekerja kilang dan sesiapa sahaja kerana sikap hormat-menghormati mampu menjadikan kehidupan lebih tenteram dan makmur.



Selasa, Mac 15, 2011

Situasi 12: Adab Bertamu

     Ambil tali panjang sedepa,
Makan manggis dengan bijinya;
Sampai mati takkan lupa,
Kerana manis hati budinya.

   Sudah menjadi adat masyarakat Melayu untuk hidup beradab dan mengamalkan sopan santun.  Namun, adat tersebut semakin terhakis dek perubahan zaman.  Saya bukanlah suka-suka nak memuji mak saya, tetapi dah  memang mak saya, mestilah saya pujikan? Hehehehe...

     Satu tabiat mak saya yang saya tidak akan pernah lupa, pesanan mak ketika saya hendak bertandang ke rumah orang.  Walaupun saya dah besar panjang begini, mak masih juga memberi pesana yang sama hinggakan saya mampu menghafal patah perkataan yang bakal diucapkan oleh mak.  Pesanan tersebut juga sering disampaikan kepada cucu-cucu mak saya. 

      Mak   :   Ucie mau pigi mana ni?  
      Saya  :   Ucie mau pigi rumah kawan ucie dulu ya mak.
      Mak   :   Bha yala, nanti kalau datang rumah orang tu
                  bagus-bagus. Jangan buat bukan-bukan di rumah
                  orang ya.  
      Ucie  :   Iya bha mak. Mamak ni macam ndak tau jak ucie
                   bha. Ndak labha jugak ucie buat bukan-bukan.
      Mak   :   Iyala mamak kasi tau jak.  
      Ucie  :   Bha ucie jalan dulu aa.  
      Mak   :   Nanti, kalau orang tua duduk di bawah, 
                    ucie jangan duduk di kerusi ya.  
      Ucia   : Iya. 

     Saya tahu segala apa yang diberitahu adalah untuk kebaikan saya kerana mak saya ingin orang lain melihat anaknya sebagai seorang anak yang tahu adap dan sopan santun.  Mak saya memang sangat menitik beratkan adab bertamu ini kerana kepada cucu-cucu, mak saya juga sering memberikan pesanan sedemikian.  

     Disebabkan pesanan tersebut sudah menjadi kebiasaan kepada mak saya, saya juga turut terbiasa mengamalkannya ketika berada di rumah orang lain.  Saya sentiasa ingat dengan pesanan tersebut.  Saya juga pasti anda diluar sana juga sama seperti saya.  Tentu ada pesanan yang sering diberikan oleh ibu, emak atau ummi anda ketika anda hendak bertamu ke rumah orang.  Saya pasti tentu sahaja ada bukan?
      
     Amalan berbudi bahasa, berdopan santun, beradab sesama insan sangat tinggi nilainya pada pandangan orang tua.  Oleh demikian, kita sebagai anak muda perlu menerapkan nilai-nilai tersebut agar menjadi jati diri kita terutamanya jati diri anak Melayu yang penuh dengan tatasusila, adab sopan dan nilai-nilai ketimuran.


situasi 11: Majalah Hiburan

     Adakah anda pelanggan tetap sesebuah majalah?  Majalah apakah yang menjadi pilihan anda untuk dijadikan sebagai bahan bacaan?  Terdapat pelbagai jenis majalah yang diterbitkan di Malaysia seperti majalah ekonomi, majalah perniagaan, majalah bahasa, majalah rumah tangga, majalah sosial, majalah hiburan dan banyak lagi jenis-jenis majalah yang terdapat di pasaran.

     Namun, yang pastinya pilihan utama pembaca lebih tertumpu kepada majalah hiburan.  Berapa banyakkah majalah hiburan yang anda ketahui yang diterbitkan di dalam industri percetakan negara? Majalah hiburan apakah yang menjadi pilihan anda sebagai pembacanya?

     Golongan remaja merupakan penyumbang utama kepada penjualan majalah hiburan di negara kita.  Hal demikian terjadi kerana golongan remaja lebih suka membaca sesuatu yang ringan dan naluri remaja yang suka kepada isu-isu semasa dalam dunia artis.  Mengapa keadaan ini berlaku?  Mengapa golongan remaja tidak cenderung untuk membaca bahan bacaan yang lebih berbentuk ilmiah.  

     Adakah kerana golongan remaja kita pada masa kini mencintai ilmu.  Jika keadaan ini berterusan, budaya apakah yang bakal dipertontonkan kepada generasi hadapan.  Majalah-majalah hiburan hanyalah sebagai bahan bacaan suka-suka segabai bahan gosip sesama sendiri.  Sukar untuk kita melihat golongan remaja bersembang tentang perkara-perkara yang serius dan memberikan faedah kepada mereka.  Malah, penggunaan bahasa yang digunakan dalam majalah-majalah hiburan lebih bersifat rojak dan tidak menepati standart bahasa Melayu jauh sekali dengan penggunaan bahasa baku.  Keadaan ini akan mempengaruhi penggunaan bahasa dalam kalangan remaja itu sendiri.

     Jika amalan membaca majalah hiburan ini menjadi tabiat, tidak banyaklah ilmu dan faedah yang mampu diperoleh oleh golongan remaja.  Oleh demikian, golongan remaja perlu berubah angin dalam tabiat pembacaan mereka.  Tidak salah untuk membaca majalah hiburan tetapi tidak mengenepikan majalah yang lebih bersifat ilmiah.

Pelbagai jenis majalah yang menjadi bahan bacaan pengguna