Ahad, Mac 13, 2011

Situasi 10: Ironi Bahasa (Menyindir)

     Pernah dengar tidak orang menterbalikkan bahasa dengan maksud yang ingin disampaikan.  Kalau seseorang itu kurang faham dengan apa yang dituturkan dalam bahasa ironi, tentu akan mengakibatkan kemarahan.  Tetapi inilah salah satu bentuk bahasa yang masyarakat kita suka gunakan untuk menutup atau berkias dengan bahasa sindiran.

     Sering kali orang akan menterbalikkan sesuatu ayat dengan makna yang ingin di sampaikan.
Contohnya:
      1)    Aku : Kau marahkah?
             Dia  : Tidaklah, aku sukakkk.  (Menutupi maksud sebenar)

      2)    Aku : Apa kau buat di sini? (Kedai makan)
              Dia  : Tak buat paper, saja nak shoping. (Menutup maksud sebenar)

    Bahasa seperti ini kadang kala digunakan untuk bergurau atau menyindir seseorang tetapi tidak menggunakan bahasa secara terus kepada orang kedua.  Malahan, bahasa ini juga diucapkan mengikut tona atau jeda percakapan.  Mungkin bahasa sindiran seperti ini diucapkan dengan sinis, gelak ketawa atau dalam nada marah.  Jadi, terpulang kepada penutur dan pendengarnya mentafsir maksud sebenar ayat yang diujarkan.  


Komen: Suatu bahasa boleh digunakan secara meluas. Bahasa lisan, bahasa kiasan, bahasa sindiran, bahasa terbalik, dan sebagainya terpulang kepada si penuturnya.  Kepelbagaian bahasa ini terhasil daripada budaya yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat.  Jadi, tidak ada peraturan atau undang-undang yang menyatakan bahawa tidak boleh menggunakan bahasa seperti ini. Namun, apabila kita mencintai bahasa kita, maka terbentuklah nilai sesuatu bahasa tersebut dengan sendirinya.

Sabtu, Mac 12, 2011

Situasi 9: Mak abah minta duit

     Masa kita kecil, kita mesti suka minta duit dengan mak kita bukan? Hehehe semua itu kenangan yang paling indah dan tidak boleh dilupakan sampai bila-bila.  Pelbagai ragam dan cara kanak-kanak meminta duit daripada emaknya sama ada dengan cara berkias, secara terus ataupun tanpa mukadimah.  Bagi orang Melayu, mereka sangat mementingkan adat dan kesopanan dalam kehidupan seharian.  Sehingga kini, masih ramai yang menerapkan unsur-unsur kesopanan ini kepada anak-anak mereka.  Adat meminta wang daripada orang tuapun ada cara dan situasinya.  

     Selalunya, anak-anak digalakkan meminta ketika orang tua dalam keadaan yang gembira atau tidak dalam masalah.  Cara meminta juga perlulah berkias seperti dimulakan dengan kata-kata pujian untuk menimbulkan perasaan gembira.  Contohnya;

     Adik   :   Ayah, ayah tengok cerita apa tu?
     Ayah  :   Ayah tengah tengok Raja Lawak ni, kelakar benor.
     Adik   :   Patutlah dari tadi ayah tergelak-gelak.  Best tak ayah?
     Ayah  :   Best giler, memang jadilah lawak dia buat tu.
     Adik   :   Ha, yang ni lagi best ayah.  Ermmm Adik nak cakap 
                  sikit boleh tak ayah?
     Ayah  :   Adik nak cakap apa?
     Adik  :  Sebenarnya, adik ada program dekat sekolah hujung 
               bulan ni. Jadi, adik nak guna duit sikit. Boleh tak ayah?
     Ayah  :  Eh. kenapa tak boleh pulak. Mestilah boleh untuk 
                  anak ayah. 
     Adik  :   Hehehe...terima kasih ayah. (ucapan terima kasih amat
                 penting bagi menunjukkan tanda kita bersyukur).

     Begitulah adat dan kesopanan yang perlu kita terapkan dalam diri.  Walaupun hal ini nampak remeh, tetapi memberi kesan yang bermakna kepada kita.  Jika anak-anak meminta dengan kasar, tentu akan menimbulkan kemarahan orang tua dan hilanglah sopan-santunnya orang Melayu di situ.  Malahan, bukan sahaja meminta duit, kalau hendakkan sesuatu yang lain juga perlu ada cara dan gaya yang disenangi oleh orang tua kita.


Komen: Masyarakat kita kaya dengan adat, budaya dan sopan santun.  Kita sebagai generasi muda perlu sentiasa mengamalkan nilai budaya dan adat bersopan-santun ini agar tidak hilang ditelan zaman kelak.  Tiada ruginya jika kita mengamalkannya kerana semua ini membawa kebaikan kepada diri kita sendiri.  Budi itu melambangkan hati, budaya itu melambangkan gaya dan bahasa melambangkan bangsa.

Situasi 8: Sanggar

     Tengah hari begini memang perut tengah lapar, langsung ingat dengan 'Sanggar'.  Aduh berbunyi-bunyi perut mintak di isi dengan 'Sanggar".  Kalau ditambah dengan sambalnya lagi, pehhhh memang asyiklah. Hehehe...tapi hidup di bumi Semenanjung ni jarang dapat menikmati hidangan 'Sanggar' atau lebih dikenali sebagai 'Pisang Goreng'.  Kenapa saya jarang dapat menikmati 'Sanggar'? Sebab 'Sanggar' di sini sangat mahal.  RM1 hanya dapat dalam 4 keping pisang gorang yang telah dipenggal dua.  Huhu sadis rasanya sebab di Tawau 'Sanggar' boleh diperoleh 8keping pisang yang tidak dibelah hanya RM1.  

     Kalau peniaga ingin meletakkan harga sedemikian, mungkin tiada seorangpun yang akan membeli 'Sanggar' di gerai tersebut.  Istilah 'Sanggar' ini datangnya dari akronim "Pisang Goreng" iaitu "Sang" dan "Gor".  Namun, orang di Tawau lebih sinonim menyebutnya dengan 'Sanggar'.  'Sanggar' ini dapat dikategorikan kepada dua iaitu  'Sanggar Biasa' dan 'Sanggar Pappek'.  Inilah sebenarnya tradisi makanan masyarakat di Tawau yang menjadi pilihan pertama.  Sambalnya juga jauh berbeza daripada 'Pisang Goreng' di Semenanjung.  

     Baru-baru ini majalah Pelita Bahasa edisi Feb 2011 ada mengeluarkan kisah 'Sanggar' menjadi muka hadapan.  Saya sebagai penduduk jati Tawau amat berbangga kerana 'Sanggar' kini telah diketahui umum.  Perkataan 'Kamsatu' itu adalah merujuk kepada yang pertama atau yang paling utama dengan meletakkan kedudukan 'Sanggar' sebagai sajian pertama yang paling disukai di Tawau.  Penggunaan bahasa 'Kamsatu' dan 'Sanggar' ini semestinya menjadi pengetahuan baru kepada mereka yang pertama kali mendengarnya.  

Keratan risalah dalam majalah Pelita Bahasa edisi Feb 2011.

     Bagaimana pula dengan rupa atau bentuk 'Sanggar Pappek'?  Jangan risau, saya juga menyediakan keratan gambar hidangan ini.  Kecur liur apabila melihat gambar ini.  Sesungguhnya, saya teramat merindui makanan, bahasa dan apa jua yang ada di Tawau.


Komen:  Makanan tradisi merupakan makanan yang menjadi keutamaan bagi di sesebuah tempat.  Begitu juga dengan Pisang Goreng atau 'Sanggar dan Sanggar Pappek' memang menjadi pilihan utama penduduk di Tawau sebagai hidangan atau sajian pada waktu senggang.  Istilah 'Kamsatu' itu juga merupakan istilah penduduk Tawau yang merujuk kepada pilihan utama atau nombor satu yang menjadi kesukaan mereka.  Bersama-samalah kita meluaskan pengetahuan kita dengan kosa kata dan istilah yang digunakan di pelbagai tempat di serata negeri.

Situasi 7: Facebook

     Dengar sahaja 'Facebook', saya yakin pasti ramai yang tahu apa itu 'Facebook'? 'Facebook' ialah laman sosial yang menjadi kegilaan masyarakat pada masa kini.  Memang banyak kegunaan laman sosial ini kerana boleh menghubungkan kita dengan rakan-rakan, keluarga dan juga memperoleh kawan-kawan baru.  Selain itu, laman ini boleh menjadi medium penyampai maklumat yang lebih cepat dan mudah.  

     Namun, setiap yang baik pasti ada keburukannya.  Terpulang kepada kita sebagai pengguna bagaimana untuk mengaplikasikannya.  Sering kali ketika saya membuka akaun laman sosial ini, saya memerhati ada yang cuba menyampaikan tentang keadaan diri, perasaan melalui "FB", maklumat, memanjatkan doa dan sebagainya tentang diri si pengguna.  Namun, yang menjadi kudis mata adalah pengguna yang menggunakan laman sosial ini untuk melepaskan kemarahan, kebencian, dan sebagainya yang tidak sedap dilihat dan didengarkan kepada orang lain.  

     Pengguna seperti ini menggunakan laman sosial "FB" ini untuk menyatakan perasaan dengan menggunakan kata cacian dan makian.  Pengguna seperti inilah yang akan merosakkan imej bangsa kita sendiri. Jangan hairan kalau bangsa kita dicop sebagai orang yang suka memaki, berkata kesat dan sebagainya.  Oleh demikian, berfikirlah dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata di laman sosial seperti ini kerana kata-kata yang kita gunakan merupakan cerminan diri kita sendiri.  Melalui kata-kata yang kita ujarkan atau paparkan di "FB ini menampakkan kita sebagai individu yang bagaimana?  Jadikanlah laman sosial seperti ini sebagai wadah untuk kita mengembangkan ilmu dan budaya kita kepada orang awam.  




Komen: Laman sosial seperti ini sememangnya mempunyai banyak kebaikan jika digunakan dengan sebaiknya. Namun, masalah penyalahgunaan tidak mampu dielakkan.  Oleh demikian, kepada kawan-kawan yang mencintai bahasa, jangan cemarkan bahasa kita dengan menulis perkara yang tidak berfaedah dalam laman sosial seperti ini kerana akan mencemarkan bahasa sekaligus menjejaskan imej kita di mata orang lain.  Sekian.

Situasi 6: Jate dan Tino

     Kalau dilihat sekali imbas pada tajuk ini, mesti ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang ingin saya ceritakan.  Memang lucu kerana setelah berada hampir 3tahun di bumi Semenanjung ini, baru saya dapat kenal pasti bahawa orang Kelantan menggunakan istilah Jate dan Tino untuk merujuk kepada jantina lelaki dan perempuan.  Pada mulanya, saya memang tidak perasan penggunaan istilah ini, tetapi apabila saya mendengarnya dan mendapatan istilah jate dan tino itu untuk maunusia, saya mendapat pengetahuan baru lagi.  Memang lucu apabila kita mengatakan lelaki sebagai jantan manakala perempuan sebagai betina, tetapi itulah hakikatnya bahawa orang Kelantan telahpun menggunakannya.

     Walaupun hakikatnya penggunaan istilah ini nampak kasar, namun tidak bagi penuturnya.  Oleh demikian, saya menegaskan pengunaan istilah tersebut perlu digunakan secara berwaspada iaitu tidak digunakan di hadapan bukan penutur asli.  Sekarang, rakan serumah saya tidak lagi menggunakan istilah tersebut di hadapan saya dan hanya menggunakannya dalam kalangan penutur bahasanya.  

Komen: Sebagaimana catatan saya yang sebelum ini iaitu bahasa dan ragamnya, begitu jugalah situasi untuk kali ini.  Lain orang lain ragamnya, lain bangsa lain bahasanya, lain kaum lain adat dan gaya hidupnya.  Oleh demikian, kita perlu meneroka ilmu bahasa ini agar lebih banyak pengetahuan yang kita perolehi.
     

Situasi 5: Bahasa dan Ragam

     Baru-baru ini kawan saya ada memuat naik sebuah video berkisahkan sebuah kereta yang melanggar kerbau.  Dijadikan cerita, walaupun kita adalah rakyat Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa Kebangsaan, tetapi masih tetap ada perbezaan di dalam penggunaan bahasa kita.  Selalunya, bahasa ini berbeza mengikut daerah mahupun tempat bagi penuturnya.  Sekiranya kata-kata saya ini boleh menyinggung perasaan anda, saya dahului dengan ucapan maaf ya.  Rasanya, sudah ada orang yang mengetahui tentang apa yang bakal saya utarakan ini. Ini berkenaan istilah "Pantat".  

     Masyarakat di negeri Sabah menggunakan istilah "Pantat" untuk merujuk kepada punggung manakala masyarakat di Tanah Melayu menggunakan istilah ini merujuk kepada alat sulit wanita.  Jika dilihat penggunaannya, agak memalukan seperti kita sedang mencarut apabila istilah ini digunakan di Semenanjung tetapi sebaliknya jika istilah ini digunakan di Sabah.  Hanya kerana satu istilah ini, orang yang tidak tahu secara meluas penggunaanya boleh menyebabkan pergaduhan dan sebagainya.  Sebab itulah, banyak bahasa itu banyak ragamnya.  Sama-samalah kita memperluaskan kosa kata kita, agar kita mampu berkongsi sesama kita. Hayatilah lagu ini...sememangnya lagu ini khas untuk mereka yang masih tidak mengetahui penggunaan istilah "Pantat" di negeri Sabah.



Komen:  Masyarakat di Malysia sangat terkenal dengan pelbagai kaum dan bangsanya.  Oleh demikian, sekiranya ramai bangsa dan kaum yang ada di sesebuah tempat, maka banyaklah juga bahasa dan ragamnya.  Jika tidak di teroka, maka tidak bercambahlah pengetahui kita dalam berbahasa.

Jumaat, Mac 11, 2011

Situasi 4: Cuci Kawah

     Assalamualaikum wahai sahabatku semua, hari ini saya ingin berkongsi satu cerita menarik tentang pasangan pengantin yang terpaksa mencuci periuk kawah. Hehehe...sebenarnya ini adalah adat Melayu yang sering diamalkan dalam sesebuah majlis perkahwinan.  Walaupun ada pepatah Melayu pengantin itu ibarat 'Raja Sehari' tetapi tidak untuk keesokan paginya.  Pengantin akan mendapat habuan sepasang periuk besar untuk dicuci bersama-sama.  Memang banyak aksi yang dapat dilihat pada waktu tersebut. Si Isteri mengelap peluh suami, muka pengantin baru penuh hitam-hitam seperti memakai bedak sejuk rupanya. Hahaha, tetapi yang menjadi cerita, saya mempunyai seorang kawan yang tidak mengetahui langsung tentang adat ini.  Ayah kawan saya itu berasal dari Terengganu manakala ibunya pula asal dari negeri Sabah dan berketurunan Cina.  Kawan saya itu membesar di Sabah dan sememangnya orang Sabah tidaklah menjadikan hari mencuci periuk ini sebagai adat mereka.  Oleh demikian, tidak hairanlah jika kawan saya tidak mengetahui tentang adat tersebut.  Selalunya, kita mengetahui adat dan budaya kita melalui ibu kerana ibu lebih mengetahui segalanya tentang adat berbanding lelaki atau bapa.  

     Oleh demikian, kawan saya ini langsung tidak menegtahui tentang adat pengantin yang akan mencuci periuk kawah setelah selesai majlis perkahwinan.  Sebenarnya, orang Melayu sangat bijak dalam meneladani kehidupan sejak dari dahulu lagi.  Sebab musabah cuci kawah ini adalah untuk menguji sejauh mana kesungguhan pasangan pengantin tersebut dalam menjalani bahtera rumah tangga.  Jika periuk yang dibasuh itu bersih berkilat, maka dapat disimpulkan bahawa pengantin tersebut bersungguh-sungguh dalam menjalani kehidupan rumah tangga kelak.  Sebaliknya pula, jika periuk yang dibasuh ala kadar sahaja, maka begitulah sikap pengantin dalam menjalani rumah tangga kelak. Selain itu, adat ini boleh dijadikan sebagai kenangan manis kepada pengantin baru.  Lihat betapa bijaknya orang Melayu terdahulu mengatur muslihat dalam menilai kesungguhan pengantin yang baru sahaja melayari rumah tangga.  



     Wah, betapa besarnya periuk kawah di dalam gambar ini!  Kepada bakal-bakal pengantin di luar sana, selamat membasuh periuk kawah dengan jayanya. Hehehehe...


Komen:  Cintailah budaya dan adat warisan kita kerana ianya adalah suatu seni budaya yang amat unik.  Orang terdahulu sebenarnya mempunyai pemikiran yang lebih kehadapan berbanding orang atau masyarakat sekarang.  Jadi, tidak ada salahnya jika kita meneladani apa yang telah dikatakan oleh orang tua-tua kerana sememangnya mereka terlebih dahulu makan garam daripada kita.